Sukan

Tunggu dan lihat Nasib Dion Cools

Pemain pertahanan kacukan negara Dion Cools bagaikan meluahkan isi hatinya dan rindu terhadap aksi bersama skuad bola sepak kebangsaan.

Pemain berusia 25 tahun berasal dari Kuching itu jarang sekali mengemas kini akaun Instagram miliknya namun dia sempat menyelitkan satu video pendek di InstaStory yang menggambarkan suasana kemeriahan sorakan Harimau Malaysia dengan paluan gendang kumpulan Ultras Malaya.

“Soon! (Tidak lama lagi!)” begitulah ringkasnya nukilan Cools sekali gus menc3tus kebarangkalian dia rindu untuk beraksi bersama Harimau Malaya sekali lagi.

Skuad negara kendalian jurulatih baharu Kim Pan Gon dari Korea Selatan dijadual mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) di republik itu bulan depan dan difahamkan ia hadir pada minggu rehat liga dan perlawanan antarabangsa.

Kedua-dua perlawanan persahabatan itu sebagai persediaan menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, yang mana Malaysia akan bertindak sebagai satu daripada enam tuan rumah.

Cools, yang kini beraksi dengan kelab Belgium, Zulte Waregem secara pinjaman dari kelab Denmark, FC Midtjylland, sudah beraksi empat perlawanan bersama Harimau Malaya setakat ini, semuanya di bawah kendalian jurulatih terdahulu Tan Cheng Hoe.

Pernah beraksi dengan pasukan B-18, B-19 dan B-21 Belgium, Cools membuat penampilan sulung bersama skuad negara ketika tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Dubai pada 3 Jun tahun lalu.

Dia beraksi dalam dua lagi aksi kelayakan menentang Vietnam (kalah 1-2) dan Thailand (menang 1-0) di UAE sebelum aksi terakhirnya pada peringkat kumpulan Piala AFF menentang Indonesia (kalah 1-4) di Singapura Disember lalu.

sumber : HM

Namun sama ada Cools mampu dipilih dalam skuad wajah baharu kendalian Pan Gon hanya boleh tunggu dan lihat.