Sukan

Saya tidak suka macam tu — TMJ

Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.

Pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yakin barisan pemain JDT yang ada ketika ini mampu membawa pasukan itu berada pada kedudukan yang baik.

“Insya-Allah kalau kita dapat melepasi peringkat kumpulan itu lebih daripada cukup. Saya ini suka sasaran realistik, saya tidak suka bagi penyokong saya janji-janji manis atau pun cerita-cerita dongeng,” titah baginda pada sidang media pengumuman penaja baharu Kelab Bolasepak JDT di sini hari ini.

Juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu diundi dalam Kumpulan I saingan ACL bersama juara Liga Jepun Kawasaki Frontale, Guangzhou FC (China) dan pemenang perlawanan play-off antara Ulsan Hyundai (Korea Selatan) dan Port FC (Thailand).

Johor Bahru turut dipilih sebagai tuan rumah bagi kesemua perlawanan Kumpulan I yang bakal membuka tirai pada 15 April hingga 1 Mei depan.

Tunku Ismail bertitah JDT turut meletakkan sasaran berada di kedudukan empat teratas Liga Super dan suku akhir Piala Malaysia.

Baginda turut memaklumkan akan menambah seorang lagi pemain import dari Sepanyol, namun menyatakan butiran lanjut mengenainya tidak boleh didedahkan buat masa ini.

Terdahulu, JDT mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai penaja baharu dan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda komitmen kedua-dua pihak dalam menaikkan taraf bola sepak tempatan ke tahap lebih tinggi.

MAB akan menjadi rakan penerbangan eksklusif JDT dengan membawa pasukan itu ke perlawanan di luar dan dalam negara.

Tunku Ismail menzahirkan rasa bangga dengan kerjasama itu kerana ia menunjukkan kejayaan sesebuah kelab bola sepak itu bukan sahaja diukur berdasarkan pencapaian di dalam padang, tetapi juga di luar padang.

“Anda boleh melihat JDT sangat agresif dengan agenda komersial kelab dan infrastruktur bola sepak kami. Jadi, di sinilah yang meletakkan kami sangat berbeza daripada kelab lain… pasti kami akan terus maju dan mencipta lebih banyak sejarah,” titah baginda.

sumber:- HM

Dengan penerbangan ke 1,100 destinasi di 150 negara seluruh dunia, JDT bakal menjadi tontonan di segenap lapisan yang mana siri ‘Fearless: Rise of The Southern Tigers’ akan turut ditayangkan di dalam sistem hiburan penerbangan di kesemua pesawat MAB ke seluruh rangkaiannya. – BERNAMA