Sukan

Permohonan tetap ditolak

Harapan peminat untuk membawa makanan dan minuman ketika menyaksikan perlawanan di stadium sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak kesampaian apabila permohonan itu ditolak pihak berwajib.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang membuat permohonan secara rasmi itu turut mengesahkan, dua lagi cadangan turut ditolak termasuk soal kuarantin pemain jika ada kes di dalam pasukan serta penambahan jumlah kemasukan penonton ke venue perlawanan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya sudah menghantar surat kepada pihak kerajaan sebelum ini bagi memperbaiki prosedur standard operasi (SOP) bagi kempen Liga M musim baharu kali ini.

Kita sudah memohon kepada pihak kerajaan tiga perkara iaitu pertama adalah untuk membenarkan penonton yang hadir ke stadium untuk makan dan minum ketika menyaksikan perlawanan.

Kemudian, MFL juga meminta keizinan untuk menggunakan peraturan antarabangsa seperti kempen Piala AFF Suzuki 2020 lepas, di mana pemain yang berkongsi bilik dengan individu disahkan positif C0vid-19 tetapi negatif masih dibenarkan bermain.

Namun, situasi ini tidak dibenarkan meskipun syarat itu bukan kami yang cipta sebaliknya terpakai dalam saingan antarabangsa. Namun, kita faham kerajaan mempunyai alasan tersendiri memandangkan peningkatan kes ketika ini.

Terakhir adalah permohonan tambahan andai dua permintaan awal diluluskan iaitu tambahan kuota penyokong untuk hadir ke stadium yang mana ia turut ditolak.

“Justeru, kita kekal memakai SOP yang dilakukan ketika penganjuran Piala Malaysia musim lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan penaja baharu Liga Super, Luno Malaysia yang turut dihadiri Pengurus Negaranya, Aaron Tang di Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, MFL menerima svntikan tajaan baharu daripada Luno Malaysia sejumlah RM1 juta untuk tempoh semusim bagi menaja saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Mengulas mengenai tajaan lumayan itu, Stuart mengakui pihaknya berbangga dapat menjalinkan kerjasama dengan Luno, bursa aset digital yang dikawal selia di Malaysia sebagai Rakan Pelaburan Kripto itu.

“Nilai tajaan yang kami terima adalah RM1 juta untuk tempoh setahun dengan peluang lanjutan hingga penghujung musim 2023. Terima kasih Luno atas keyakinannya terhadap bola sepak Malaysia,” katanya.

sumber:- HM

Perjanjian kerjasama itu merangkumi pelbagai hak penjenamaan termasuk papan iklan di tepi padang, penggunaan logo kelab serta imej pemain dan pengaktifan jenama di stadium.