Sukan

Sumareh sebenarnya yang tolak

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak dari awal gagal menghantar pemain secukupnya ke Kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura pada tahun lepas.

Itu antara dapatan hasil daripada empat pertemuan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Dell Akhbar Khan pada sidang media di Wisma FAM pada Jumaat.

Menurutnya, Malaysia hanya menghantar 24 pemain dengan 11 daripadanya adalah pemain pertahanan, enam pemain tengah, empat striker dan tiga penjaga gol.

“Pada awal lagi, memang ada kekurangan daripada pihak FAM untuk menghantar jumlah yang sepatutnya boleh dihantar. Pertandingan benarkan 30 pemain untuk didaftarkan dan daripada awal terdapat kekurangan (jumlah pemain).

Di mana silapnya? Adakah mereka (FAM) gagal untuk merancang? Itu FAM perlu jawab kerana memang jelas pemain-pemain yang dipanggil tidak dapat (menyertai pasukan).

“Ada yang sebilangan tidak dapat menyertai. Sumareh (Mahamadou Sumareh) misalnya menolak tawaran untuk dipanggil bermain pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di sini.

Tambah beliau, pihaknya juga mendapat maklumat bahawa wujudnya tiga kumpulan dalam pasukan kebangsaan melibatkan pemain tempatan, pemain naturalisasi dan pemain senior.

Dalam pada itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pula menegaskan Tan Cheng Hoe sendiri yang mahu menggantikan Sumareh dengan Arif Aiman selepas pemain naturalisasi itu menyatakan dia ada hal keluarga di Gambia.

“Dia (Sumareh) minta boleh tak lewat datang, perlawanan kedua baru boleh sampai. Jadi saya bincang dengan Tan (Cheng Hoe), saya cakap juga pada Sumareh kalau nak sertai, kena sertai sekarang.

“Tan lepas bincang, Tan kata tak payah ambil dia (Sumareh), kita ambil Arif Aiman. Begitulah kisahnya. Jadi tak perlu dibincangkan lebih. Saya suka nak bergerak ke hadapan.

sumber:- AWANI

“Tan setuju untuk panggil Arif Aiman, itu sebab kita gantikan (Sumareh dengan Arif Aiman),” ujarnya.