Sukan

MFL beri amaran

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menipu dengan menggunakan lesen jurulatih bertauliah untuk kepentingan individu tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, adalah menjadi satu kesalahan menggunakan lesen pihak lain untuk membimbing pasukan terutama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berhubung isu terbabit.

Untuk pendaftararan jurulatih kelab yang bertanding Liga Malaysia (Liga Super dan Liga Perdana) sama ada tempatan atau asing, mereka perlu mendapat kelulusan MFL.

Antara syarat wajib bagi pendaftaran jurulatih bagi sesebuah kelab ialah perlu berdaftar dan menjadi ahli PJBM). MFL menpunyai kerjasama baik dengan PJBM dan sentiasa memastikan ketelusan polisi yang ditetapkan mendapat sokongan PJBM dan dasar yang melindungi hak jurulatih di Liga di bawah pengelolaan MFL.

“PJBM mempunyai proses saringan sendiri sebelum membenarkan jurulatih berkaitan menjadi ahli. MFL tidak akan meluluskan pendaftaran jurulatih yang tidak menjadi ahli PJBM,” katanya kepada Arena Metro.

Ujar Stuart lagi, buat pengendali asing pula, MFL akan mendapatkan bantuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menyemak kelayakan seseorang jurulatih itu sebelum diluluskan untuk membimbing kelab di Liga M.

Bagi jurulatih luar negara pula, pihak MFL dan kelab akan menyemak dan mendapatkan ‘Recognition of Coaching Competency’ (RECC) daripada AFC melalui FAM.

“Manual Liga M juga mempunyai Klausa 4.4.12 iaitu Lesen Pegawai Kelab yang bertanding dalam Liga M tidak boleh digunakan individu lain dan jika didapati lesen tersebut digunakan individu lain, maka MFL berhak mengenakan tindakan.

“MFL sentiasa sangat serius dalam kriteria kejurulatihan mengikut manual kami dan keperluan Pelesenan Kelab dan oleh itu, jika terdapat sebarang tuduhan seperti ini, saya amat meminta pihak berkaitan tampil ke MFL melaporkan isu ini dan untuk MFL mengambil tindakan yang perlu,” katanya.

Terdahulu, bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail mendedahkan ada individu menggunakan nama jurulatih yang bertauliah didaftar sebagai jurulatih pasukan, sedangkan individu berkenaan tidak memiliki lesen kejurulatihan.

sumber:- BH

Malah, Presiden PJBM, B Sathianathan sendiri tidak menolak kemungkinan kegiatan itu wujud dan pihaknya memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas ahli PJBM sekiranya ada yang didapati terbabit dengan gejala berkenaan.