Anda pastinya seorang lelaki yang berasa amat gembira dan bertuah jika pasangan atau teman wanita anda menyatakan ‘ya’ terhadap lamaran anda kepadanya.

Itulah yang mungkin dirasai pemain pertahanan kiri negara Dion Cools ketika ini selepas pasangannya Melissa Schelfhout menerima lamarannya untuk melangsungkan perkahwinan dan membina keluarga bersama semalam.

Berita gembira itu dikongsikan Cools, 25, dalam hantaran terbaharu di laman Instagram miliknya dengan tiga perkataan ringkas: “She said YES (Dia kata YA)”.

Pasangan ini sudah mempunyai seorang bayi lelaki bernama Liam-Zayn Cools yang lahir pada 6 Mei lalu.Di ruangan komen, beberapa pemain skuad Harimau Malaya termasuk Luqman Hakim Shamsudin, Brendan Gan, Junior Eldstal, Dominic Tan, Liridon Krasniqi dan Matthew Davies mengucapkan sekalung tahniah kepada Cools susulan perkhabaran gembira itu.

Cools, yang beraksi dengan kelab naib juara Superliga Denmark, FC Midtjyland, sudah bermain empat perlawanan bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe dengan penampilan terbaharu pada peringkat kumpulan Piala AFF menentang Indonesia di Singapura bulan lalu.

Dilahirkan di Kuching dengan ibunya warganegara Malaysia manakala bapanya berasal dari Belgium, Cools pernah tampil 28 kali bersama pasukan belia Belgium sebelum memutuskan untuk berkhidmat dengan negara ibundanya awal tahun ini.

sumber:- HM

Cools membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila mereka tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 4 Jun lalu di Dubai.