Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak meletakkan sebarang sasaran besar walaupun skuad Sang Badak dilihat mampu memberikan saingan sengit dalam aksi Liga Malaysia musim ini.
Beliau bagaimanapun menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan pemain baharu untuk bersaing dengan pasukan hebat seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Kim Swee berkata, pendekatannya tidak meletakkan sebarang sasaran adalah untuk memastikan pemain tidak tertekan ketika bermain dalam usaha menunaikan misi yang ditetapkan.
Saya percaya mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan dan ingin lakukan. Paling penting adalah kita sentiasa konsisten untuk mencapai kemenangan tidak kira apa juga perlawanan dihadapi pada musim ini.
Setiap pasukan pastinya memerlukan pemain yang berpengalaman selain pemain muda. Ini adalah strategi jangka masa panjang skuad Sang Badak.
Kita boleh ketengahkan mereka pada bila-bila masa. Kita sudah ada beberapa pemain berpengalaman termasuk Khairul Fahmi (Che Mat), Baddrol (Bakhtiar), dan pemain import lain.
Ini sudah pasti akan memberi satu keyakinan yang tinggi kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu hari ini.
Khairul Fahmi bakal menjadi penjaga gol baharu Sabah FC, manakala bekas kapten Kedah, Baddrol bakal memperkuatkan Sang Badak bersama rakan sepasukannya Rizal Ghazali.
Sabah FC turut mengekalkan pemain tempatan, Rawilson Batuil dan pemain import dari Indonesia Saddil Ramdani yang beraksi dalam musim sebelum ini.
Kim Swee berkata, pihaknya juga mempunyai perancangan untuk mencungkil bakat pemain muda tempatan menerusi pasukan supaya dapat mempelajari ilmu daripada pemain berpengalaman sedia ada.
Mengulas mengenai Khairul Fahmi yang sah menyertai Sabah, Kim Swee berkata kehadiran penjaga gol kebangsaan yang lebih mesra disapa Apek itu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi gawang Sabah.
Salah satu kelemahan kita pada musim lalu ialah di bahagian penjaga gol. Kehadiran Apek pasti akan menguatkan lagi pasukan terutamanya di bahagian pertahanan.
sumber:- BH
“Langkah ini penting untuk kita membina sesuatu terutamanya melalui penjaga gol yang berpengalaman dan boleh membimbing penjaga gol muda apabila dia berada di sini nanti,” katanya.