Sukan

Import TFC memang mantap

Pemilihan pemain baharu bagi memperkuatkan Terengganu FC adalah berdasarkan pemerhatian rapi dan perbincangan bersama barisan kejurulatihan demi memastikan skuad mantap dapat dibentuk bagi mengharungi saingan liga pada musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFC), Ab Rasid Bin Jusoh berkata, pemilihan pemain import berdasarkan kepada kesesuaian mereka bermain dengan strategi yang diterapkan oleh jurulatih.

Beliau berkata, walaupun Terengganu mengambil muka sama iaitu membabitkan awang import dari Kedah Darul Aman FC, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman, pasukan itu turut membawa masuk pemain baharu seperti Pape Diakite.

Pemilihan pemain tidak kira sama ada tempatan atau import dicadangkan oleh barisan kejurulatihan dan dibincangkan melalui satu jawatankuasa teknikal.

“Sudah tentu melalui pemerhatian secara rapi oleh jurulatih supaya dapat mengikut kesesuaian corak permainan yang akan diterapkan olehnya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan boleh dikatakan agak suram tanpa kejutan apabila urusan jual beli pemain import ketika ini dilihat hanyalah membabitkan individu sama saja.

Situasi terbabit bukan hanya membabitkan pasukan kerdil, malah turut menjangkiti kelab bertaraf gergasi dengan mereka lebih berminat mengambil awang import kitar semula daripada menggajikan individu baharu untuk mengisi kesebelasan utama.

sumber:- HM

Pengarah Urusan Action Football Asia Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, setakat ini tiada lagi pemain import berprofil tinggi dibawa masuk oleh kelab Liga M untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.