Sukan

Rekod cemerlang Vietnam lebur di tangan Thailand

JUARA edisi 2016, Thailand mencerahkankan peluang mara ke final Piala Suzuki AFF 2020 apabila menewaskan Vietnam 2-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional, Singapura pada Khamis.

Dua gol daripada kapten skuad Gajah Perang, Chanathip Songkrasin masing-masing pada minit ke-14 dan minit ke-23 ternyata sudah cukup memadai buat skuad Gajah Perak itu membawa bekal selesa menjelang aksi separuh akhir kedua, 26 Disember ini.

Thailand membuka jaringan menerusi kapten, Chanathip Songkrasin pada minit ke-14 berpunca daripada kesilapan pertahanan Vietnam yang gagal mengekang lorongan bola dan Chanathip yang tidak dikawal tenang menewaskan penjaga gol, Tran Nguyen Manh yang meluru keluar bagi menyelamatkan keadaan.

Jaringan berkenaan nyata menyemarakkan semangat kesebelasan Thailand untuk terus mengasak ke gawang Vietnam bagi menambah jaringan.

Hasilnya skuad Gajah Perang itu memperolehi gol kedua juga menerusi Channatip pada minit ke-23 menerusi gerakan satu dua yang yang berjaya memecah benteng pertahanan skuad Naga Emas itu dan seterusnya mudah menewaskan Nguyen Manh buat kali kedua.

Tersentak dengan dua gol berkenaan, kesebelasan Vietnam dilihat bingkas bangkit mengatur asakan ke gawang Thailand bagi menjaringkan gol.

Vietnam kemudiannya mendapat peluang terbaik bagi menjaringkan gol pertama pada minit ke-33, namun sepakan percuma Nguyen Quang Hai sekadar menggegarkan palang gol biarpun penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom telah pun tertewas.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan namun kedua-dua asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan lawan.

Hasil satu s3rangan balas, Chanathip hampir mel3dak hatriknya pada perlawanan berkenaan, namun r3mbatannya derasnya pada minit ke-56 tinggi melewati palang gol.

Minit ke-66 menyaksikan Vietnam hampir merapatkan jurang gol, tetapi rembatan Quang Hai sekadar menggegarkan palang gol sebelum dikeluarkan pertahanan Thailand.

Minit ke-79 menyaksikan Vietnam sekali lagi hampir menjaringkan gol pertama namun kali ini rembatan leret pemain gantian, Phan Van Duc hanya sedikit tersasar ke sebelah kiri pintu gol Thailand.

Thailand berpeluang menambah gol ketiga apabila diberikan sepakan penalti, pada minit ke-83.

Bagaimanapun sepakan penalti berkenaan gagal disempurnakan Chanathip yang merembat tepat kepada penjaga gol Vietnam, Nguyen Manh sebelum dikeluarkan benteng pertahanan.

Kedua-dua pasukan kemudiannya dilihat terus mengasak ke pintu gol lawan masing-masing dalam usaha menjaringkan gol, namun tiada sebarang jaringan tembahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.

 

sumber:- SH