Selepas masing-masing berdiam diri dan enggan mengulas kekalahan di tangan Indonesia, akhirnya tonggak kacukan, Dion Cools menunjukkan kematangannya selaku pemain profesional apabila mengakui mahu melupakan episod malang di Piala AFF di Singapura itu.

Walaupun hanya meluahkannya di media sosial, Cools yang beraksi untuk FC Midtjylland di Liga Denmark nyata menghargai sokongan semua pihak terutamanya peminat yang menjadi tulang belakang kepada industri bola sepak selama ini.

Katanya, adalah satu penghormatan untuknya mengibar cabaran negara di pentas antarabangsa dan dia menyeru rakan sepasukan untuk tampil lebih bertenaga di kejohanan yang lain selepas ini.

“Masih satu penghormatan besar yang kami pelajari sebagai satu pasukan, dan kami akan kembali lebih kuat,” katanya ringkas di Instagram miliknya.

Kenyataan Cools itu adalah yang pertama daripada pemain-pemain Harimau Malaya selepas kekalahan 1-4 di tangan Indonesia sekali gus gagal meloloskan diri ke pusingan separuh akhir Piala AFF.

Cools, 25, yang baru menyertai pasukan di kempen itu Khamis lalu hanya sempat bermain satu perlawanan ketika menentang skuad Garuda.

Ia menyaksikan tonggak pertahanan itu terlepas tiga aksi awal dengan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe menang ke atas Kemboja dan Laos sebelum tewas kepada Vietnam.

Walaupun pasukan negara tewas kepada Indonesia, namun aksi mantap Cools mendapat pujian peminat tempatan yang mahu dia terus bersama skuad negara.

sumber:- BH

Selepas berakhirnya cabaran Malaysia di Piala AFF, skuad negara akan memghadapi misi getir di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia yang dijangka berlangsung pada Jun depan dengan sasaran untuk layak ke pusingan akhir itu.