Taring skuad Harimau Malaya dijangka bertambah runcing dan tajam pada 2023 apabila seorang lagi pemain import bakal dinaturalisasikan kelab Liga Malaysia (Liga M) tidak lama lagi.

Ayam tambatan itu adalah penjaring terbanyak kempen Piala Malaysia musim ini, Romel Morales yang sah akan dinaturalisasikan oleh kelabnya, Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Perkara itu dimaklumkan ejennya, Effendi Jagan Abdullah yang mengakui Morales sendiri mahu dan bersedia menerima kerakyatan negara ini sekali gus sedia untuk dipanggil oleh kem negara jika memerlukan khidmatnya.

Memang dia (Morales) nak main (mewakili Malaysia), memang sudah ada perancangan untuknya di mana KL City akan menaturalisasikan dia.

“Itu perancangan jangka panjang dan dia juga mengesahkan untuk kekal dengan pasukan KL City lagi. InsyaAllah, kalau pasukan negara panggilnya, tahun 2023 baru dia boleh mula sertai pasukan,” katanya yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd.

Untuk rekod, program naturalisasi di bawah kelolaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah ‘dibekukan’ sementara bagi membolehkan kajian terperinci dilakukan oleh badan induk itu.

Ia selepas tiga pemain naturalisasi yang diusahakan FAM seperti Mohamadou Sumerah, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula mendapat kritikan peminat yang mempertikaikan prestasi mereka.

Sebaliknya, aksi pemain tempatan dilihat lebih menyerlah berbanding tongggak terbabit yang diambil bagi menambah kekuatan pasukan.

sumber:- HM

Begitupun, FAM tidak menghalang mana-mana pasukan Liga M untuk menaturalisasikan pemain import yang sudah memenuhi syarat wajib Fifa dan pihak kerajaan.