Sukan

Rehatkan De Paula

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe disaran memberi peluang untuk penyerang tempatan seperti Luqman Hakim Shamsudin atau Shahrel Fikri Fauzi sebagai penggempur Harimau Malaya bagi aksi kedua Piala AFF berdepan Laos di Stadium Bishan, Singapura esok.

Perkara itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh sambil menyifatkan pemain berkenaan mampu menggalas tugas dipikul pemain naturalisasi, Guilherme De Paula yang dilihat masih belum berjaya mempamerkan persembahan cemerlang bersama Harimau Malaya.

Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby berkata, pemain seperti Luqman, Shahrel dan R Kogileswaran juga sudah membuktikan kebolehan mereka apabila memberi impak kepada pasukan selepas masuk sebagai pemain gantian ketika aksi pertama Kumpulan B men3ntang Kemboja, kelmarin.

Pendapat saya kita harus mempercayai kebolehan pemain tempatan. Selama ini pun saya memang sokong pemain tempatan, tapi saya rasa apa yang penting adalah keyakinan pemain ini.

Mereka memang ada kebolehan dan nasib baik semalam (kelmarin) jurulatih buat pertukaran yang tepat dan kita dapat lihat hasilnya.

Orang ramai boleh buat penilaian sendiri. Saya memang tak sokong naturalisasi, lebih-lebih lagi De Paula. Untuk mengharapkan De Paula melakukan sesuatu luar biasa yang dia tak biasa lakukan, susah.

Berbanding Luqman kita belum lihat potensi penuh dia, tapi bunga-bunga semua sudah ada. (De Paula) umur sudah 35 tahun, (berstatus) pemain naturalisasi, kelab sendiri pun (jadi pemain) simpanan.

“Luqman, Shahrel, Kogileswaran semalam tengok bila mereka masuk, nampak perbezaan. Memang nampak perubahan positif dan saya puji keberanian jurulatih untuk masukkan pemain striker,” katanya kepada BH Sukan.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan teratas Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata selepas menundukkan Kemboja 3-1, manakala Vietnam yang menewaskan Laos 2-0 di tangga kedua.

sumber:- BH

Selepas berdepan Laos, anak buah Cheng Hoe akan berdepan tugas lebih getir iaitu men3ntang juara bertahan Vietnam, Ahad ini.