Sukan

Komen Syafiq Ahmad Isu De Paula

Adakah striker naturalisasi, Guilherme de Paula akan terus diberi peluang untuk mengepalai jentera s3rangan skuad Harimau Malaya pada aksi berdepan Laos, Khamis ini?

Berdasarkan kenyataan daripada Tan Cheng Hoe, pengendali skuad kebangsaan itu seakan memberi bayangan betapa pemain itu akan berada dalam perancangannya dalam misi mengutip tiga mata yang seterusnya di Stadium Bishan nanti.

“Saya harap dia (De Paula) akan terus bermotivasi dan memberikan contoh yang terbaik pada pasukan. Saya percaya dia akan bersedia untuk aksi seterusnya,” kata Cheng Hoe selepas perlawanan pembukaan berdepan Kemboja, semalam.

Di sebalik isu pemain itu yang dikatakan ‘koyak’ kerana melempar botol selepas dikeluarkan serta dikecam penyokong atas persembahannya pada aksi pertama itu, rakan sepasukan tetap percaya kepada kemampuan ‘harimau import’ itu.

Pemain tengah, Syafiq Ahmad mengakui rakan sepasukannya di peringkat kelab dan kebangsaan itu sentiasa berusaha keras untuk membuktikan sesuatu setiap kali kudratnya ditagih di atas padang.

Dia sudah buat yang terbaik, cuma mungkin belum sampai waktu untuk jaringkan gol. Sebagai penyerang, memang akan ada rasa kecewa apabila beberapa kali melakukan percubaan tetapi tidak dapat menghasilkan gol.

“Kita nampak dia cuba buktikan sesuatu untuk membantu pasukan,” katanya.

Pada aksi pembukaan terbabit, bekas penyerang Selangor itu melakukan beberapa percubaan namun tuah tidak memihak apabila berjaya dihalang pertahanan ataupun diselamatkan penjaga gol Kemboja, Keo Soksela.

Dalam perkembangan lain, Syafiq mengharapkan kemenangan pada aksi sulung itu membantu pasukannya mendapat rentak sekali gus meningkatkan lagi keyakinan untuk berdepan aksi kedua nanti.

“Apa yang penting adalah kita perbaiki komunikasi di atas padang dan corak permainan kita. Kita bergelut pada mulanya tetapi kita cuba dapatkan bentuk permainan kita seperti sebelum ini mengikut langkah demi langkah.

sumber:- BH

“Persaingan di jentera serangan pun memang cukup baik dan semua pemain mahu buktikan sumbangan masing-masing kepada pasukan,” katanya.