Sukan

Sudut positif Kekalahan JDT menurut Mora

Apa yang tersurat adalah KL City FC menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk merangkul Piala Malaysia tetapi apakah maksud tersirat di sebalik kegagalan skuad Harimau Selatan itu mempertahankan kejuaraan terbabit?

Jika dilihat daripada sudut yang berbeza, kekalahan JDT membuktikan pasukan yang bergelar ‘pasukan impian’ itu mampu ditewaskan dengan perancangan yang betul meskipun tidak memiliki ramai bintang.

Ketika diminta mengulas signifikan mengenai keputusan yang dilakar di pentas final itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata situasi itu wajar dilihat sebagai satu perkembangan positif dan isyarat bahawa pasukan Liga Malaysia (Liga M) semakin berkembang.

Tegasnya, sekiranya persaingan yang ditunjukkan oleh KL City FC khususnya seperti di final itu tidak dapat dijelmakan, ini bermakna Liga M tidak akan berkembang lebih ke depan.

Sebagai jurulatih JDT, sudah tentu saya sentiasa mahu kemenangan tetapi secara individu dan kolektif pasukan, ia hanya dapat berkembang dengan persaingan dan cabaran yang sentiasa diberikan.

Kami pun mahukan ruang untuk mengembangkan lagi liga sekali gus menjadikan ia lebih menarik dan lebih baik. JDT tidak akan berhenti setakat di sini selepas melihat banyak pasukan yang mampu memberi saingan pada musim depan.

Antaranya seperti KL City FC, Terengganu FC (TFC), Kedah Darul Aman (KDA), Sarawak United. Ada juga pasukan seperti Melaka United (MU) dan PJ City FC. Mungkin ada tujuh atau lapan pasukan yang mampu memberi saingan.

“Itulah evolusi yang kita perlukan jadi kita perlu merancang bagaimana untuk terus menjadi juara liga. Semua pasukan sentiasa memberikan yang terbaik ketika menentang JDT, jadi ini situasi yang bagus untuk bola sepak Malaysia,” katanya.

sumber:- BH

Sebagai rekod, JDT terus mengekalkan reputasi sebagai gergasi bola sepak tempatan kerana masih membolot dua trofi musim ini iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut turut.