Kuala Lumpur City FC (KL City) dikenakan hukuman beraksi tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 berdepan Melaka United yang akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Isnin ini.
Hukuman itu dikenakan ke atas skuad kendalian Bojan Hodak susulan tindakan penonton tuan rumah menceroboh kawasan padang ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara KL City dan Selangor, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam menjelaskan insiden yang berlaku itu melanggar peraturan MFL berkaitan Peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP) Penonton Perlawanan Piala Malaysia dan Manual Liga Malaysia 2021.
Katanya, insid3n berkenaan juga menyaksikan pasukan tuan rumah didapati bersalah melanggar peraturan SOP Penonton Perlawanan Piala Malaysia dengan dibaca Bahagian 3 (v) SOP di mana penonton atau penyokong dikehendaki mengamalkan penjarakan fizikal.
“Pihak MFL sudah menerima surat balas daripada Kuala Lumpur City FC pada hari ini di mana Ahli Lembaga Pengarah MFL bersepakat memutuskan Kuala Lumpur City FC dikenakan hukuman perlawanan tanpa penonton untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 yang berlangsung pada 22 November 2021 dan Kuala Lumpur City FC bersetuju serta mengambil keputusan untuk tidak menjual tiket bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Stuart turut mengumumkan keputusan insid3n penyokong memasuki kawasan padang ketika perlawanan Selangor dan Terengganu FC pada peringkat Kumpulan C di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 7 November lalu.
Sekretariat MFL menerima laporan bahawa beberapa pemain Terengganu FC tidak mengekalkan penjarakan sosial dengan penyokong dan telah berlari ke arah penyokong untuk meraikan gol kedua Terengganu FC.
Beberapa penyokong turut didapati melompat pagar dari tempat duduk penyokong dan pergi ke arah padang untuk meraikan gol dengan pemain Terengganu FC.
Terengganu FC melanggar Bahagian 3(v) SOP Kemasukan Penonton Perlawanan TM Piala Malaysia 2021, yang menyatakan bahawa penonton hendaklah mengekalkan penjarakan fizikal.
Sekretariat MFL turut mendapati Terengganu FC telah melanggar Klausa 4.7.2(i) (f) (5) Peraturan Pertandingan dalam Manual Liga Malaysia yang menyatakan bahawa kelakuan penyokong atau penonton hendaklah tertib.
sumber:- BH
“Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan Terengganu FC diberikan amaran keras dan dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan itu bagi mengelak daripada dikenakan hukuman lebih berat,” katanya.