Sukan

Jaringan ala ‘Hand of God’ gagal selamatkan pasukan

Jaringan ala ‘Hand of God’ Dieogo Maradona oleh pemain Petaling Jaya (PJ) City, FC Khyril Muhymeen pada minit terakhir perlawanan gagal menyelamatkan pasukan itu untuk pulang sekurangnya dengan satu mata apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-2 dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

Malah, tindakan bekas pemain Selangor itu menggunakan tangan untuk menjaringkan gol pada masa tambahan separuh masa kedua menyebabkannya dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih.

Pada perlawanan babak pertama menyaksikan skuad kendalian P Maniam terlebih dahulu berada di depan apabila V Ruventhiran yang berjaya mencuri bola daripada Adam Nor Azlin sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias pada minit 11.

Kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila kesilapan pertahanan yang menjatuhkan Arif Aiman dalam kawasan kotak penalti sekali gus dihadiahkan sepakan penalti sebelum disempurnakan Bergson Da Silva pada minit 14 untuk kedudukan 1-1.

Gol berkenaan ternyata meniup semangat kepada skuad kendalian Benjamin Mora untuk mengatur lebih banyak serangan.

JDT berjaya di depan pada minit 29 selepas penjaga gol PJ City, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi gagal menangkap kemas sepakan percuma Safawi Rasid sekali gus mudah disambar pemain import JDT Mauricio Nascimento untuk kedudukan 1-2.

Babak kedua bersambung menyaksikan pasukan pelawat lebih menguasai perlawanan dengan melakukan s3rangan bertali arus bagi menjarakkan kedudukan.

Malah, Mora turut melakukan dua pertukaran dengan memasukkan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid bagi menguatkan lagi bahagian serangan.

sumber:- HM

Tuan rumah pula melakukan pertukaran dengan memasukkan Khyril pada minit terakhir perlawanan namun keputusan kekal 1-2 sekali gus menyaksikan JDT terus gah berada di kemuncak Kumpulan D.