Sukan

Tidak lain dan tidak bukan Ronaldo

Cristiano Ronaldo menyeru peningkatan Manchester United sambil menagih sedikit masa untuk mengubah nasib mereka selepas jaringan penyamaannya pada minit ke-91 menyelamatkan maruah The Red Devils, awal pagi tadi.

Penyudah lewat Ronaldo sekali lagi membantu pelawat meraih keputusan seri dramatik 2-2 di Atalanta dalam Liga Juara-Juara (UCL).
Keputusan itu menyaksikan United belum tewas dalam empat perlawanan berturut-turut di kandang lawan baik dalam Liga Europa mahupun UCL, tetapi mereka memperagakan persembahan yang kurang memberangsangkan sebelum Ronaldo menyelamatkan satu mata buat mereka.

Bintang Portugis itu menyempurnakan gerakan berpasukan yang menakjubkan pada masa kec3deraan separuh masa pertama untuk membatalkan gol pembukaan Josip Ilicic pada minit ke-12 dalam pertembungan di Bergamo itu, di mana Duvan Zapata kemudian memastikan Atalanta kembali berkelebihan selepas 11 minit separuh masa kedua berlangsung.

Bagaimanapun, Ronaldo sekali lagi mengubah nasib pasukan kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu dalam Kumpulan F di tengah-tengah tekanan yang memuncak terhadap pengurus Norway tersebut selepas anak buahnya hanya menang tiga kali dalam lapan perlawanan terakhir.

“Ia adalah satu perlawanan yang sukar,” kata Ronaldo kepada BT Sport, untuk United menyamai tujuh mata dengan Villarreal di puncak kumpulan.
Ia sentiasa menjadi sukar di sini tetapi kami tetap percaya masih berkemampuan mengharunginya.

“Saya membantu pasukan untuk mendapatkan mata dan saya sangat gembira.”Ronaldo menjadi pemain dari Old Trafford pertama yang menjaringkan gol dalam empat penampilan berturut-turut UCL sejak Ruud van Nistelrooy melakukannya pada 2003.

Pemenang lima Ballon d’Or berusia 36 tahun dan 270 hari itu juga menjadi pemain tertua yang menjaringkan dua atau lebih gol dalam sebuah perlawanan untuk United di peringkat Eropah.

Ronaldo juga merupakan pemain kedua tertua yang menjaringkan dua gol UCL selepas Filippo Inzaghi (37 tahun dan 86 hari) melakarnya pada November 2010.

“Kami tidak pernah berputus asa dan percaya sehingga ke akhirnya. Ia satu keputusan yang bagus untuk kami. Pada mulanya ia sukar,” tambahnya.
“Kami sedar Atalanta akan meletakkan kami di bawah tekanan tinggi. Mereka sentiasa sukar untuk dihadapi. Kami agak bernasib baik pada akhirnya tetapi inilah bola sepak.

sumber:- astro arena

“Kami masih perlu berkembang. Kami perlu menyesuaikan diri antara satu sama lain tetapi ia pasti akan mengambil masa. Kami masih mempunyai masa untuk memperbaikinya dan menjadi lebih baik.”