Sukan

Jaguh Asia ‘bimbang’ pemain rahsia Malaysia

Jaguh Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Iran mahupun Qatar seharusnya bimbang menjelang pusingan akhir Piala Asia Bawah 23 (B-23) tahun di Uzbekistan tahun depan apabila skuad negara bakal diperkuatkan dengan ‘s3njata’ rahsia.

Situasi itu susulan kesediaan pengendali B-23 negara, Brad Maloney untuk memanggil beberapa pemain baharu termasuk bintang muda dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) serta tonggak yang beraksi di luar negara.

 

Antara bintang tempatan yang menyinar di Liga M namun tidak dibawa pada kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia adalah tiga pemain sayap kiri dan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Akhyar Rasyid, Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman Hanapi.

Striker Selangor FC, Ahmad Danial Ahmad Asri juga berpotensi untuk dipertaruhkan bagi menambah sengat di jentera depan bersama-sama ayam tambatan kelab Belgium, KV Kortrijk iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nur Azfar Fikri Azhar yang bermain untuk Terengganu FC II.

Selain itu, JDT juga mempunyai bekas pemain Wolverhampton Wanderers di Liga Perdana Inggeris, Hong Wan yang pastinya boleh diletakkan di bahagian tengah pasukan negara.

Malaysia juga mempunyai dua lagi tonggak kacukan berusia B-23 dan amat menyerlah iaitu Kobe Jae Chong yang menyertai Peterborough United dalam Liga Kejuaraan di divisyen dua England serta Jaami Qureshi dengan Brighton & Hove Albion.

Tidak dilupakan, seorang lagi pemain tengah berpangkalan di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal antara pilihan terbaik untuk diketengahkan.

Jelas Maloney, pintu pasukan sentiasa terbuka buat mana-mana pemain dengan fokus utamanya untuk membentuk skuad terkuat di saingan Piala Asia nanti.

“Pintu sentiasa terbuka kepada pemain baharu yang layak, dan pemain yang pernah bersama kami sebelum ini. Tugas berterusan saya dan barisan kejurulatihan selepas ini adalah untuk memantau pemain dan kemajuan mereka, terutama sepanjang pertandingan domestik,” katanya kepada Arena Metro.

Skuad negara layak beraksi bersama 15 pasukan terbaik Asia di pusingan akhir selepas berjaya muncul juara Kumpulan J dengan mengumpul tujuh mata.

Ditanya perancangan beliau untuk mempersiapkan pasukan dengan saingan Piala Asia bakal diadakan dari 1 hingga 19 Jun tahun depan, jurulatih dari Australia itu akan mengadakan perbincangan terperinci sebaik tiba di tanah air nanti.

sumber:- HM

“Ini sesuatu (perancangan persiapan) yang perlu kita bincangkan dengan pihak pengurusan dalam masa terdekat dan merancang pelan hala tuju dengan sewajarnya,” katanya yang membawa skuad B-19 muncul naib juara Piala AFF dua tahun lalu.