Sukan

Pengiktirafan FIFA satu kebanggaan untuk Malaysia

Pengiktirafan yang diberikan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) memberi isyarat jelas betapa akademi elit yang menjalankan Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) berada pada landasan tepat.

Malah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar melihat perkembangan positif itu turut membuktikan betapa AMD memiliki potensi yang amat besar sekali gus menegaskan program pembangunan itu perlu diteruskan untuk masa depan bola sepak negara.

Safirul yang juga Pengarah SportsWork berkata pengiktirafan daripada FIFA menerusi Program Pembangunan Bakat FIFA/ Double Pass itu tidak mengejutkan selepas mereka turut mendapat pengiktirafan dua bintang daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Audit ini dijalankan oleh Double Pass yang sebelum ini pernah menganalisis beberapa akademi terkemuka antaranya seperti Clairefontaine (Perancis), Akademi Aspire (Qatar) dan Akademi PVF (Vietnam) selain akademi kelab bola besar di Eropah.

Jadi ini membuktikan AMD juga sudah bertaraf antarbangsa tetapi sebenarnya, jenama AMD memang sudah terkenal kerana sentiasa mendapat permintaan daripada beberapa pasukan luar untuk menjadikan akademi ini sebagai pusat latihan pramusim.

Dengan 10 padang yang ada di AMD, sudah pasti ini memberikan pengalaman bola sepak terbaik kepada mana mana pasukan. Cuma atas beberapa kekangan, AMD belum mampu memberikan perkhidmatan sebegitu tetapi ini peluang yang boleh diteroka untuk masa depan.

“Justeru, pengiktirafan ini sedikit sebanyak membuktikan AMD dan PPBN perlu terus menjadi agenda nasional dan sentiasa disokong sekurang kurangnya dikekalkan dengan rangka kerja sedia ada. Tetapi lebih bagus kalau ia boleh ditambah baik lagi,” katanya.

Terdahulu, reputasi AMD sebagai ‘kilang’ melahirkan pemain elit negara terus kukuh selepas mendapat pengiktirafan daripada Program Pembangunan Bakat/ Double Pass.

Menerusi satu kenyataan yang dikongsi PPBN, Double Pass yang ‘mengaudit’ akademi terbabit mendapati AMD melepasi semua kriteria yang ditetapkan apabila mendapat 53 mata daripada penilaian yang dilakukan.

Double Pass menjelaskan 53 mata yang diperolehi AMD adalah mengatasi mata median antarabangsa (37 mata) sekali gus membuktikan ia sebagai penanda aras yang positif sebagai pusat kecemerlangan kebangsaan.

sumber:- BH

Sebagai rekod, sebanyak 377 akademi elit di seluruh dunia dianalisis oleh badan itu berdasarkan 230 kriteria membabitkan tujuh dimensi dengan 75 piawaian antarabangsa digunakan untuk menilai semua akademi terbabit.