Kegagalan mematuhi tarikh akhir penyelesaian pembayaran tunggakan sehingga mengakibatkan pasukan itu tidak mendapat lesen kebangsaan yang ‘sempurna’ sudah pasti menjadi pengajaran terbaik buat Melaka United (MU).
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Justin Lim menegaskan pihaknya bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang supaya pasukan itu mampu mendapat lesen kebangsaan tanpa sebarang sekatan.
Hakikatnya memang salah kami, namun sejak mengetahui kesilapan itu kami segera menyelesaikan masalah terbabit. Kami anggap ini adalah pengajaran berguna buat kami.
Kami akan memastikan ia takkan berlaku lagi dan saya yakin ia tidak akan berulang kerana kami berjaya menyelesaikan hutang tunggakan dari pengurusan terdahulu.
“Jadi kami akan memandang ke depan dan berusaha untuk memastikan masalah sama tidak akan berlaku,” katanya.
Terdahulu, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu tampak kurang bernasib baik apabila diberikan lesen kebangsaan dengan sekatan apabila dikenakan denda sebanyak RM15,000 selain turut diberikan amaran.
Ia susulan pasukan itu melanggar tarikh akhir penyelesaian pembayaran tertunggak mereka membabitkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) iaitu pada 30 September yang lalu.
sumber:- BH
Sebagai rekod, pasukan itu pernah dikenakan pemotongan tiga mata untuk dua musim berturut- turut selepas didapati gagal menepati jadual pembayaran untuk tunggakan gaji seperti dipersetujui sebelum ini.