Beberapa pemain yang ‘diperam’ dalam dua aksi persahabatan bertemu Jordan dan Uzbekistan diharap tidak pulang dengan tangan kosong sebaliknya dapat belajar sesuatu untuk meningkatkan kualiti persembahan mereka.

Itu harapan yang disandarkan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang menegaskan situasi itu tidak bermakna pintu mereka untuk mewakili negara terus tertutup dan bersedia memanggil mereka pada masa akan datang.

Kita sentiasa meneliti mereka (pemain yang tidak diturunkan) dan kita melihat mereka ada teknik dan kemahiran yang baik. Cuma mereka kena sesuaikan diri dengan kepantasan perlawanan antarabangsa yang sangat berbeza.

“Saya harap mereka dapat belajar sesuatu untuk masa depan daripada dua perlawanan ini. Sekiranya kita perlu memanggil mereka lagi, mereka sudah bersedia untuk kem latihan skuad antarabangsa selepas ini,” katanya.

Antara pemain yang tidak mendapat peluang beraksi dalam dua perlawanan terbabit adalah penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz dan pemain sayap, Al Hafiz Harun.

Selepas berakhirnya kempen Piala Malaysia nanti, pemain kebangsaan akan dihimpunkan kembali sebagai persediaan berdepan dua misi penting pada Disember dan Februari tahun depan.

Menanti mereka pada Disember ini adalah saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura yang menyaksikan Malaysia yang turun selaku naib juara edisi lalu diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Vietnam selain Indonesia, Kemboja dan Laos.

Selepas ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu, mereka akan meneruskan misi pada pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 dijangka berlangsung, Februari depan.

sumber:- HM

Berdasarkan kedudukan ketika ini, Malaysia dijangka berada dalam Balang 3 untuk undian bagi pusingan kelayakan terbabit.