Malaysia mengesahkan tempat dalam suku akhir Piala Thomas 2020 selepas menewaskan Kanada 5-0 di Aarhus, Denmark awal pagi tadi.
Dengan penarikan diri saat-saat akhir England, kemenangan pertama itu sudah cukup untuk memastikan kemaraan skuad negara memandangkan Kanada telah tewas kedua-dua perlawanan peringkat Kumpulan D.

Perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, berdepan saingan sengit pemain nombor 45 dunia, Brian Yang, sebelum menang 21-18 dalam set pertama tetapi mempamerkan dominasi penuh untuk menamatkan pertarungan selama 38 minit itu dengan kemenangan 21-13 dalam set kedua.

Turun selaku perseorangan kedua, Cheam June Wei, mempamerkan aksi berkesan ketika berdepan pemain di ranking ke-46 dunia Jason Ho-Shue.Biarpun berada di kedudukan 24 anak tangga lebih rendah, June Wei hanya memerlukan 40 minit untuk merakamkan kemenangan 21-14,-21-14, sekali gus menyumbangkan mata kedua skuad negara.

Kemenangan Malaysia disahkan perseorangan berusia 21 tahun, Ng Tze Yong, yang mempamerkan aksi menarik, termasuk kebangkitan menakjubkan dalam set kedua, untuk menang 21-7, 21-19 ke atas pemain nombor 83 dunia, B. R. Sankeerth.

Malaysia kemudian menurunkan beregu eksperimen dengan menggandingkan Soh Wooi Yik dan Nur Izzudin Rumsani dalam perlawanan keempat dan kedua-dua pemain itu mempamerkan keserasian segera untuk menewaskan Phillipe Charron-Maxime Tetreault 21-7, 21-10 dalam hanya 25 minit.

sumber:- astro arena

Hari gemilang skuad negara disempurnakan pasangan Aaron Chia-Goh Sze Fei, yang tidak berdepan masalah untuk menewaskan Sankeerth-Nyl Yakura 21-14, 21-13.Malaysia seterusnya akan berdepan Jepun bagi penentuan juara Kumpulan D malam esok.