Sukan

Jangan malukan Liga Super

Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Melaka United FC (MUFC) perlu membuktikan bahawa ‘darjat’ kelab Liga Super lebih tinggi daripada pasukan Liga Perdana.

Ia selepas ketiga-tiga pasukan itu akan menerima kunjungan wakil Liga Perdana di gelanggang sendiri, dengan JDT akan men3ntang Kelantan FC dalam Kumpulan D, manakala Kedah berdepan Kelantan United FC (KUFC) dan Melaka melawan Negeri Sembilan FC bagi aksi Kumpulan C, malam ini.

 

Memegang status pasukan dalam liga nombor satu negara dan turut memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa tiga pasukan itu wajib mendapatkan kemenangan bagi menjaga ‘air muka’ Liga Super.

Melihat kepada kekuatan dari segi barisan pemain dan prestasi sepanjang musim ini, JDT yang juga juara Liga Super lapan kali berturut-turut dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk mengatasi Kelantan.

Malah, berdasarkan reputasi besar JDT termasuk selaku juara bertahan Piala Malaysia, Harimau Selatan tampak boleh meraih kemenangan besar jika dibandingkan dengan The Red Warri0rs (TRW) yang hanya menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan keenam.

Selain JDT, Kedah yang juga naib juara Liga Super turut berdepan tugas mudah bagi aksi pembukaan Piala Malaysia dengan Kelantan United muncul pasukan terakhir mengesahkan tempat ke kejohanan tertua Asia Tenggara itu dan menduduki tangga ketujuh Liga Perdana.

Di atas kertas, tidak nampak jalan buat TRW dan KUFC untuk melakar kejutan ke atas dua gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu, namun mereka hanya boleh berpegang kepada tanggapan bahawa ‘dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku’ sebagai kekuatan.

Walaupun nampak mudah, Harimau Selatan dan Helang Merah sebenarnya tidak boleh terlalu yakin bagi mengelak persembahan sambil lewa sepanjang 90 minit hingga boleh mamakan diri.

Berbeza dengan JDT dan Kedah, Melaka mungkin berdepan tugas lebih berat kerana walaupun beraksi di liga kedua, Negeri Sembilan musim ini bukanlah calang-calang pasukan dengan skuad ‘Jang’ pasti memiliki keyakinan tinggi selepas bergelar juara Liga Perdana.

Berdasarkan prestasi kurang konsisten skuad kendalian Zainal Abidin Hassan yang menamatkan Liga Super di kedudukan kelapan, peluang buat Melaka meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan boleh dianggap 50-50.

Satu lagi aksi Kumpulan D yang tidak kurang hebatnya akan berlangsung malam ini adalah pertembungan dua wakil Liga Super, PJ City FC dan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sukar untuk meramal sama ada PJ City atau Sabah yang akan membuka tirai kejohanan dengan langkah kanan, namun jika berdasarkan kedudukan dalam liga, skuad P Maniam mungkin ada sedikit kelebihan.

sumber:- BH

Pun begitu, harus diingat bahawa Sabah mungkin akan tampil dengan aksi berbeza dan luar jangka selepas baru mendapat sentuhan jurulatih berstatus kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.