Hati pemain kacukan, Kobe Jae Chong seolah sudah terpaut dengan skuad Harimau Malaya apabila dia menerima cenderahati istimewa berupa jersi skuad negara.

Kobe menerima jersi berkenaan semalam selepas menerima kunjungan Tengku Muhammad Iskandar dan Tengku Fahad Mua’adzam Shah yang juga kerabat diraja Pahang.

Pertemuan itu dikatakan hanya sekadar untuk menemui Kobe yang sebelum ini menyatakan minat beraksi bersama skuad negara berikutan memiliki pertalian darah dengan Malaysia melalui neneknya.

Ketika ini, pemain berdarah campuran Malaysia-Jamaica berusia 20 tahun itu beraksi bersama kelab Liga Kejuaraan England, Peterborough United.

Diharapkan dengan pemberian jersi keramat Harimau Malaya itu, Kobe akan terus bersemangat untuk menanti peluang menyarung jersi negara selepas ini.

Untuk rekod, Kobe sebenarnya pernah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac lalu, namun terpaksa melupakan hasrat berkenaan disebabkan isu kuarantin ekoran pandemik Covid-19.

Jika Kobe dipanggil oleh kem negara, dia bakal mengikut jejak seorang lagi tonggak kacukan yang berpangkalan di Eropah iaitu Dion Cools mewakili kelab FC Midtjylland di Liga Denmark.