Sukan

Tchetche sinonim dengan nombor 10

Striker Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kipre Tchetche yang menyarung jersi nombor 10 boleh berbangga dengan penampilannya pada musim ini selepas berjaya membantu skuad Hijau Kuning meraih gelaran naib juara Liga Super musim 2021.

Apa yang menarik buat pemain import kelahiran Ivory Coast ini, nombor 10 juga telah memberi sinar buatnya apabila beliau berjaya mel3dak 10 gol untuk memastikan berada dalam kelompok senarai lima penjaring terbanyak Liga Super dan jumlah itu cuma berbeza tiga gol dengan striker utama Kpah Sherman dengan 13 gol.

Tidak sekadar itu, Tchetche juga menjadi pemain import yang ‘bersih’ dari sebarang kutipan kad setakat ini dengan menghasilkan 14 bantuan gol sepanjang aksi Liga Super musim ini.

Pemain yang dinobatkan sebagai ‘Man Of The Match’ seperti yang diumumkan oleh media KDA FC baru-baru ini berkata beliau gembira apabila dapat membantu menyumbangkan kejayaan penting bagi memastikan Kedah mengulangi rekod pencapaian di tangga kedua untuk dua tahun berturut-turut.

Sebagai pemain, saya sangat menghargai usaha yang ditunjukkan oleh semua rakan dalam pasukan yang sama-sama bersatu hati melalui usaha gigih untuk meletakkan nama KDA FC di kedudukan tangga kedua.

Ini merupakan kerjasama sepasukan yang tampil dengan begitu bersemangat tanpa mengira apa jua halangan serta rintangan yang kami terpaksa tempuhi sejak awal musim dan ini merupakan satu lagi kejayaan yang manis untuk Kedah kecapi.

“Tanpa kerjasama yang kukuh dan erat dari semua yang terlibat, kejayaan yang dimiliki ini pastinya sukar untuk diperolehi,” katanya.

sumber:- HM

Tchetche juga berkata beliau yakin kemampuan KDA FC dapat terus dipertingkatkan pada aksi Piala Malaysia musim ini selepas dua tonggak utama iaitu Rabih Ataya dan rakan barisan serangannya Kpah Sherman yang tidak beraksi dalam empat perlawanan terakhir Liga Super bakal kembali memperkuatkan pasukan.