Penggantungan perlawanan dan denda dijangka menanti pemain dan pegawai Sarawak United selepas mereka didapati menyerang pengadil ketika perlawanan bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) di Cheras, Jumaat lalu.

Meskipun belum diketahui sama ada kes terbabit akan ‘sampai’ ke pengetahuan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ‘sejarah’ sebelum ini memberi bayangan mengenai bentuk hukuman yang mungkin dikenakan.

Sekalipun pengadil perlawanan tidak melayangkan kad merah kepada pemain Sarawak United atas serangan terbabit, mereka tampak tidak boleh lega memandangkan hukuman akan tetap dikenakan jika didapati melanggar peruntukan ditetapkan.

Berdasarkan insid3n membabitkan pengadil yang pernah berlaku sebelum ini, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Natxo Insa digantung dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000 susulan tindakannya ‘menolak’ pengadil perlawanan, Noor Azriel Baharudin.

Kesalahan dilakukan pemain berdarah campuran itu ketika aksi antara skuad Harimau Selatan bertemu Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu menjelaskan Natxo melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM (edisi 2015) iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan pada perlawanan terbabit.

Namun Baljit mengesahkan hanya satu penggantungan perlawanan dikenakan terlebih dahulu sementara baki satu lagi perlawanan adalah ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik pemain ini dalam tempoh lapan bulan dari tarikh surat diterima.

Bukan itu sahaja, badan induk itu juga pernah mengenakan penggantungan empat perlawanan dan mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM35,000 kepada pegawai pasukan Terengganu FC (TFC) atas insiden membabitkan pengadil.

Hukuman terbabit dikenakan selepas mereka melanggar Artikel 54 (b) Kod Tatatertib FAM iaitu perlakuan pegawai pasukan TFC terhadap kumpulan pengadil pada aksi bertemu Sabah FC, 21 Mac lalu.

sumber:- BH

Selain itu, mereka juga melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang tidak bersemangat sukan dan cubaan meny3rang kumpulan pengadil pada aksi terbabit.