Sukan

Tze Yong jadi pilihan Utama

Saingan badminton Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan membuka tirai di Axiata Arena Bukit Jalil, esok dijangka menjadi tumpuan apabila pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022, Ng Tze Yong akan turun memberikan saingan.

Sudah pastinya tumpuan akan terarah kepada pemain perseorangan lelaki negara yang kini berada di ranking ke-39 dunia itu.

Tze Yong yang akan menggalas cabaran Johor itu juga diletakkan sebagai pilihan utama bagi memenangi pingat emas pada temasya Sukma edisi ke-20.

Temasya kali ini boleh dianggap sebagai medan pemanas badan buatnya sebelum beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Indonesia (11 hingga 16 Oktober) dan Masters Indonesia (18 hingga 23 Oktober) yang mana kedua-duanya akan berlangsung di Malang, Indonesia.

Untuk rekod, aksi terakhir pemain berusia 22 di pentas antarabangsa adalah pada Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun, bulan lalu yang menyaksikan dia terkandas di pusingan kedua.

Sebelum itu, dia berjaya membantu skuad negara memenangi emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel Birmingham dan meraih perak dalam acara individu.

Sementara itu, pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei tetap berwaspada dengan saingan daripada peserta lain biarpun tampil pada Sukma kali ini dengan status selaku juara bertahan termasuk dalam acara beregu wanita.

Pemain berusia 22 tahun yang mewakili Melaka itu meraih dua emas pada Sukma Perak 2018 menerusi acara beregu campuran bersama Aaron Chia dan acara beregu wanita ketika berpasangan dengan Anna Cheong.

Bagaimanpun, kali ini dia akan digandingkan bersama Tee Kai Wun dalam acara beregu campuran dan Yap Ling bagi acara beregu wanita.

“Saya tidak letak sebarang sasaran khusus pada Sukma kali ini. Saya tidak boleh memandang rendah kemampuan pemain lain dan akan cuba berikan yang terbaik untuk menghasilkan keputusan yang positif,” kata Ee Wei.

sumber:- HM

Pada temasya kali ini, saingan badminton menawarkan lima emas iaitu menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.