sukan

Piala Asia B-23: Keputusan Aksi suku akhir Vietnam lawan Iraq

Hasrat skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) Vietnam untuk mengiringi Indonesia ke separuh akhir Piala Asia Qatar 2024 tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Iraq dalam perlawanan suku akhir di Stadium Al Janoub.

Jaringan penalti Ali Jasim Elaibi Al-Tameemi minit ke-64 sudah cukup mengakhiri momentum pasukan dari Asia Tenggara kendalian Hoang Anh Tuan tersebut yang menewaskan Malaysia, 2-0 dalam perlawanan Kumpulan D pada 20 April lalu.

Bagaimanapun Iraq kendalian Radhi Shenaishil yang meningkat tekanan separuh masa kedua gagal memanfaatkan deretan peluang menjaringkan gol biarpun menguasai permainan.

Tekanan ditampilkan Iraq menyaksikan Vietnam terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Nguyen Manh Hưng dilayangkan kad merah pada minit ke-91.

Kedua-dua pasukan yang tampil dengan aksi intensiti tinggi menyaksikan lima kad kuning dan satu kad merah dilayangkan pengadil dalam perlawanan tersebut.

“Skuad B-23 Vietnam bermain dengan cantik dan baik, walaupun pasukan menerima penalti dan kad merah pada penghujung perlawanan, kami tetap tampil agresif sehingga saat akhir.

“Saya mahu pemain-pemain Vietnam meneruskan momentum ini dengan cara yang lebih baik pada masa depan kerana mereka menjadi lebih baik dan bertambah baik dengan setiap perlawanan.

“Sebelum berdepan Iraq, kami melihat bagaimana permainan Vietnam. Lawan Vietnam di suku akhir ialah Iraq, bukannya Malaysia atau Kuwait seperti peringkat kumpulan.

“Menghadapi lawan yang sebegitu kuat, kita juga dapat lihat bagaimana pasukan meningkat dari segi kepakaran, teknik, dan terutamanya semangat bersaing. Saya gembira tentang ini,” kata Anh Tuan.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Uzbekistan kendalian Timur Kapadze mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasukan pilihan Arab Saudi di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Penyerang Khusayin Norchaev terlebih dulu meletakkan Uzbekistan yang menewaskan Malaysia, 2-0 dalam perlawanan Kumpulan D pada 17 April lalu, memimpin separuh masa pertama hasil gol minit ke-47.

Separuh masa kedua, Arab Saudi kendalian Saad Al-Shehri meningkatkan tekanan bagi memburu gol penyamaan, terpaksa bermain 10 pemain selepas Ayman Yahya dilayangkan kad merah setelah menerima kad kuning kedua minit ke-70.

Pemain gantian, Umarali Rakhmonaliev yang dimasukkan minit ke-79 memanfaatkan peluang apabila tidak perlu menunggu lama menghasilkan impak empat minit kemudian untuk gol kedua Uzbekistan seterusnya menamatkan cabaran Arab Saudi.

sumber:- SA

Pertarungan separuh akhir, Uzbekistan akan berdepan Indonesia di Stadium Abdullah bin Khalifa pada 29 April manakala Jepun menentang Iraq di Stadium Hassim Bin Hamad, 30 April.-Sinar