sukan

Malaysia patut Malu

Indonesia mencipta kejutan besar di Qatar apabila berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) buat kali pertama.

Skuad Garuda Muda tidak berdepan laluan mudah untuk sampai ke peringkat itu apabila mereka menyingkirkan pasukan pilihan yang juga juara 2020, Korea Selatan di suku akhir menerusi drama penentuan penalti 11-10 selepas terikat 2-2.

Kemenangan anak buah Shin Tae Yong di Stadium Abdullah bin Khalifa itu bukan sahaja menyaksikan mereka menghantar Korea Selatan pulang, malah turut menyebabkan skuad Taegeuk Warriors gagal ke Sukan Olimpik buat kali pertama sejak 1980-an.

Kejayaan yang diraih skuad muda Indonesia itu turut mendapat perhatian daripada pemerhati dan peminat bola sepak di Malaysia yang mana ada antara mereka membuat perbandingan dengan Harimau Malaya B-23 yang terkandas di peringkat kumpulan D.

Perbandingan itu mungkin ada asasnya kerana Indonesia yang juga wakil Asia Tenggara melepasi halangan sukar termasuk di peringkat Kumpulan A dengan mereka berjaya mengalahkan Australia (1-0) dan Jordan (4-1) selepas tewas kepada tuan rumah, Qatar (0-2) dalam aksi pertama.

Malah, Garuda Muda berhak mendapat pujian berdasarkan prestasi dan corak permainan yang ditampilkan barisan pemain mereka dalam kejohanan tertinggi Asia itu.

Sekurang-kurang 11 pemain muda yang berada dalam skuad senior Indonesia ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lalu dibawa Tae Yong ke Piala Asia B-23 dan perkara itu menjadi antara faktor penyumbang kepada prestasi cemerlang mereka.

Nasib berbeza menimpa Malaysia dalam kejohanan itu apabila ‘Harimau Muda’ terpaksa pulang awal selepas tewas semua perlawanan peringkat kumpulan termasuk tunduk 0-2 kepada Uzbekistan, Vietnam (0-2) dan Kuwait (1-2).

Alasan pemain kekurangan minit permainan selain saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini belum bermula seakan tidak cukup untuk mengubati kekecewaan peminat Harimau Malaya terhadap keputusan buruk diraih anak buah Juan Torres Garrido yang pulang tanpa sebarang mata.

Peminat Harimau Malaya berhak ‘cemburu’ dengan peningkatan bola sepak Indonesia ketika ini termasuk skuad muda mereka juga berjaya menamatkan penantian 32 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan SEA buat kali pertama tahun lalu ketika Malaysia terkandas di peringkat kumpulan pada temasya di Kemboja itu.

Bukan sahaja bagi pasukan B-23, skuad senior Indonesia turut berada pada prestasi terbaik dengan mereka menundukkan gergasi Asia Tenggara, Vietnam dua kali dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan lalu dan berpeluang cerah untuk ke peringkat seterusnya.

Kemenangan itu juga menyaksikan Indonesia berjaya memintas Malaysia dalam ranking dunia selepas enam tahun apabila mereka naik lapan anak tangga untuk berada di kedudukan 134, manakala Harimau Malaya pula jatuh enam tangga ke-138 susulan kekalahan dua kali berturut-turut kepada Oman.

sumber:- BH

Justeru, Malaysia patut tercabar dengan peningkatan yang dipamerkan bola sepak Indonesia terutama skuad bawah umur mereka yang bakal menjadi pelapis utama kepada pasukan senior pada masa hadapan.