Sukan

‘Malapetaka’ kedua landa TFC

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh meluahkan rasa terkilan dengan perubahan terkini jadual perlawanan Liga Super yang diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kelmarin.

Katanya, jadual perlawanan itu bagaikan ‘malapetaka’ kedua buat skuad bimbingan Nafuzi Zain yang sebelum ini berdepan dengan situasi sama pada awal musim.

Berikutan itu, beliau akan menghantar surat rayuan kepada pengelola bola sepak negara agar pindaan jadual perlawanan itu dapat diteliti semula bagi memastikan skuad TFC tidak lagi menjadi mangsa keadaan yang seterusnya boleh ‘membvnuh’ pasukan itu.

Tambahnya, beliau memahami tujuan pindaan jadual itu bagi memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) yang bakal menggalas cabaran negara dalam pentas Sukan SEA di Vietnam bulan depan, namun perasan kecewa tetap bersarang dalam fikiran berhubung penjadualan semula perlawanan.

“Sebagai rakan kongsi kepada MFL, apa-apapun keputusan badan induk itu sepatutnya melalui perbincangan, tipu jika saya rasa gembira mengenai perkara ini (jadual baharu), sudah tentu saya begitu kecewa atas faktor pertama momentum pasukan kita semakin baik daripada kekalahan besar kepada kekalahan yang tipis dan seterusnya merakam kemenangan dalam dua aksi terakhir.

Kedua membabitkan kewangan, kita sudah menempah tiket kapal terbang aksi di Sabah dan penginapan, jadi apabila penangguhan ini berlaku, sudah tentu menjejaskan kewangan kami dan juga peminat yang sudah membeli tiket.

“Jadi perkara itu menimbulkan rasa kecewa, sudahlah kita sebelum ini mengalami penundaan perlawanan peringkat awal kerana wabak pandemik Covid-19, kini pasukan kami ditunda lagi, saya tidak tahu adakah penjadualan ini membantu pasukan kami dan pasukan lain, situasi inilah membuatkan kami terlalu kecewa,” katanya.

Mengenai pelepasan pemainnya sebelum ini bagi menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, beliau menjelaskan kekurangan pemain kerana ramai mengalami kec3deraan serta kejohanan Sukan SEA itu tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus menyebabkan sukar melepaskan pemainnya lebih-lebih lagi khidmat pemain berkenaan ditagih.

sumber:- HM

Kami akur dan teruja selepas sembilan pemain daripada TFC dan TFC II terpilih dalam kem latihan skuad kebangsaan, tapi kami ada sebab kukuh untuk tidak melepaskan pemain kami kerana khidmat mereka diperlukan pasukan.