sukan

Penyerang Utama Kedah mula pamer belang

Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain berpuashati dengan perkembangan semasa penyerang utamanya, Milos Gordic yang bekerja keras mempertingkat ketajamannya di ruang serangan Sang Kenari.

Gordic yang menyumbang dua gol pada aksi persahabatan ketika KDA FC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Darul Aman semalam ternyata melegakan penyokong yang mahu melihat ketajaman penyerang itu meningkat sebelum bermulanya Liga Super musim ini.

“Tugas Gordic adalah untuk menjaringkan gol. Jadi dengan dua gol yang dihasilkan Gordic pada perlawanan ini, kita nampak ia sesuatu yang bagus untuk membina keyakinan diri. Saya mahu dia terus bekerja keras untuk mendapat aksi terbaik dirinya.

“Ada peningkatan yang dia tunjukkan dan saya yakin dengan perkembangan yang sedang dia tunjukkan dari masa ke semasa. Namun dari sudut kecergasan pula, saya nampak perkembangan ini belum seratus peratus dan saya memantau dari hari pertama dia datang hingga ke hari ini.

“Kita dalam tempoh pembentukan pasukan dan kita belum ke peringkat akhir dari segi kemantapan persefahaman. Mungkin sesuatu yang masih baru buat pemain yang baru masuk bersama pasukan,” katanya sebaik tamat aksi pramusim yang menyaksikan KDA FC menewaskan NSFC dengan keputusan penuh 2-0.

Nafuzi juga berkata, pembentukan untuk memantapkan persefahaman pasukannya berjalan dengan lancar dan ada peningkatan yang ditunjukkan mereka walaupun tidak mudah buat pemain baharu untuk menyerap setiap taktikalnya dengan cepat.

“Setiap pemain berbeza penerimaannya dengan apa yang saya mahukan berkaitan kombinasi antara pemain lama dan pemain baharu. Namun mereka tetap tunjukkan peningkatan dari masa ke semasa.

sumber:- BH

“Keputusan 2-0 tu baguslah kita dapat capai kemenangan tetapi dari segi banyak pendedahan lain yang, saya perlu tengok berkaitan penyesuaian pemain baharu memerlukan sedikit lagi masa,” katanya.