Tonggak pertahanan kanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali mampu menarik nafas lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya memberi amaran keras sekali gus terselamat daripada hukuman penggantvngan atau denda.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, pemain yang berasal dari Baling, Kedah itu diingatkan agar tidak mengulangi perkara sama selepas dia menolak panggilan skuad negara tanpa alasan kukuh.
Justeru, Saifuddin menasihatkan agar Rizal selepas ini lebih berhati-hati agar tidak dikenakan hukuman berat.
Susulan itu, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.
“Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Rizal gagal melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac lalu.
Dia yang pada asalnya diletakkan dalam Senarai Bersedia dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim, Mohd Syahmi Safari.
Perubahan itu kerana Syahmi meminta pengecualian untuk tidak melapor diri kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.
sumber:- HM
Susulan itu, Pan-gon terpaksa memanggil seorang lagi pemain dari senarai bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri.