Siapakah pemain yang cuba ambil tugas jurulatih Harimau Malaya di Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lalu?
Persoalan itu menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat ketika ini selepas mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa beliau menerima laporan terdapat pemain yang menunjukkan taktikal pada papan putih dalam bilik persalinan Harimau Malaya.
Bukan memburukkan pasukan kejurulatihan atau pemain, namun apa yang cuba disampaikan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor itu mungkin lebih kepada sikap tegas yang perlu ada pada jurulatih dalam mengawal suasana di bilik persalinan.
Untuk bilik persalinan tidak begitu bagus atau ada pemain yang moral merudum, ia tugas jurulatih, yang kawal bilik persalinan adalah jurulatih.
Bagi saya jurulatih pun tak boleh lembut sangat. Takkan sampai saya dapat laporan atau pun saya dengar cerita ada pemain pula dekat papan putih tunjuk taktikal.
Benda itu tak berlaku di mana-mana pasukan dalam dunia, pemain pula tunjuk ‘set pieces’ macam mana. Bagaimana benda itu boleh berlaku, itu pasal saya cakap kalau sudah macam itu, salah Tan Cheng Hoe.
“Jadi, semua kena bertanggungjawab dalam isu ini, jangan semua sembunyikan tangan atau nak selamatkan kepala masing-masing kemudian awak nak pergi sasar pada saya, tak adil,” kata Tunku Ismail ketika sesi temubual bersama stesen televisyen swasta, kelmarin.
Berdasarkan dakwaan yang dibuat TMJ merangkap pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, ramai yang beranggapan tindakan itu mungkin dilakukan oleh pemain senior.
Bagaimanapun ada yang menganggap perkara itu mungkin bukanlah sebagai tindakan untuk melangkaui peranan jurulatih, namun lebih kepada untuk memastikan pasukan lebih memahami peranan masing-masing di atas padang.
BH Sukan juga cuba mendapatkan kesahihan dakwaan itu dengan menghubungi beberapa individu yang berada dalam skuad Harimau Malaya ke Piala AFF 2020, namun tidak mendapat respon.
Kegagalan di Piala AFF 2020 memberi impak besar buat Harimau Malaya apabila menyaksikan pengendalinya, Tan Cheng Hoe dan pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi melepaskan jawatan.
Tempat Cheng Hoe akan diisi oleh pengendali dari Korea Selatan yang pernah melatih skuad kebangsaan Hong Kong, Kim Pan Gon yang dijangka akan tiba di Malaysia bulan depan.
sumber:- BH
Paling hebat dikritik adalah FAM dengan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin turut didesak meninggalkan kerusi kerusi nombor satu badan induk itu.