Wan Kuzain Akan Beraksi bersama kelab Bintang Liga Malaysia

Dua pemain berdarah Malaysia yang bermain di Major League Soccer di Amerika Syarikat – Wan Kuzain Wan Kamal dan Isaac Angking difahamkan bersedia mempertimbangkan tawaran daripada kelab Liga Malaysia, demikian didedahkan oleh portal ssdhaliwal.com.my.

Wan Kuzain, pemain kelahiran Illinois merupakan salah seorang produk Akademi Sporting Kansas. Dia mengikat kontrak sehingga tahun 2020 dengan pilihan lanjutan bagi tahun 2021 dan 2022. Namun, kelab itu membuat keputusan untuk tidak menyambung kontraknya.

Pemain yang berusia 22 tahun itu pernah menyertai kem latihan skuad kebangsaan Amerika Syarikat bawah 17 tahun (B-17) pada tahun 2013 dan skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) bagi memperkuatkan skuad Sukan SEA pada 2019, tetapi gagal tersenarai dalam skuad akhir berikutan masalah dokumentasi.

Wan Kuzain digelar sebagai Messi Amerika dan merupakan tvlang belakang pasukan Swope Park Rangers menjulang USL Western Conference pada tahun lalu.

Manakala Isaac Angking, pemain tengah berusia 20 tahun kelahiran Rhode Island pula dilepaskan oleh New England Revolution, selepas tiga tahun bersama pasukan itu. Dia mempunyai pertalian dengan Malaysia kerana ibunya berasal dari Sarawak.

Sepertimana Wan Kuzain, Angking juga pernah menyarung jersi skuad B-17 Amerika Syarikat dan bermain di Nike International Friendlies, tetapi sayangnya gagal tersenarai dalam skuad Piala Dunia B-17 Amerika Syarikat.

Sumber terdekat kepada kedua-dua pemain mengesahkan mereka kini dalam rundingan bersama dua pasukan Liga Super tetapi hanya akan membuat keputusan mengenai masa depan selepas perbincangan semula dengan pengurusan pasukan masing-masing.

Ini kerana mereka masih boleh meminta pasukan menilai semula keputusan itu berdasarkan klausa di dalam kontrak, dan hanya selepas itu mereka akan menentukan halatuju karier masing-masing.

Jika jadi datang ke Liga Malaysia, kedua-dua pemain itu boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dan berpeluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Pada tahun lalu, bapa Wan Kuzain, Professor Dr Wan Kamal Napi memberitahu pemain tengah itu tidak akan bermain untuk mana-mana kelab di Malaysia memandangkan dia adalah seorang pemain profesional, sambil melabel Liga Malaysia pula sebagai semi-professional.