Rezeki Shakir Hamzah

Bekas pemain import pasukan Kedah, Shakir Hamzah dilaporkan selangkah lagi untuk menyertai naib juara Piala FA 2019, Perak.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Shakir dikhabarkan bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bersama skuad The Boss Gaurus.

Meskipun menampilkan prestasi cemerlang selama dua musim beraksi bersama Kedah, namun pengurusan pasukan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak pemain dari Singapura itu.

Perak mengambil kesempatan di atas perkara tersebut dan bakal menawarkan kontrak kepada Shakir, sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain yang mengisi pemain import Asean.

Sepanjang beraksi bersama Kedah, Shakir Hamzah membantu skuad Lang Merah memenangi Piala FA pada musim 2019 lalu, dengan menewaskan Perak di pentas akhir.

Selain itu, Shakir turut membantu Kedah layak ke saingan Piala AFC musim hadapan, setelah menamatkan saingan Liga Super musim 2020 di tangga kedua.