Mat Yo Kembali

Norshahrul Idlan Talaha nampaknya sudah membuat keputusan untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim 2021, selepas menerima tawaran dari pasukan Sarawak United.

Pemain yang lebih dikenali sebagai Mat Yo itu dijangka akan pulang ke Malaysia pada hujung bulan Disember ini untuk melengkapkan perpindahan dari BG Pathum United ke Sarawak United.

Keputusan untuk kembali ke Malaysia itu telah dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor seperti keluarga selain berkait rapat dengan karier bola sepak beliau di Malaysia, walaupun menerima ‘risikan’ dari 2 buah pasukan dalam saingan Thai League 1 untuk musim 2021.

Menurut ejen beliau, Wan Mohd Anwari dari Marquee Sports Management (MSM) yang bertanggung jawab menjaga perjalanan karier pemain itu selepas ‘isu pan@s’ di Thailand awal tahun ini, kepulangan Mat Yo bersama Sarawak United itu juga adalah untuk merealisasikan projek pasukan serta bertekad mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak Sarawak khususnya.

Pihak MSM juga bertindak sebagai medium perantaraan media untuk beliau dan semua kenyataan atau berita mengenai Norshahrul Idlan Talaha perlu menerima kebenaran MSM dahulu sebelum diterbitkan.

Selamat maju jaya kami ucapkan untuk Norshahrul Idlan Talaha bersama Sarawak United dalam aksi Liga Premier musim 2021 nanti!