Bukan Perkara Baru

KUALA LUMPUR: Pengambilalihan dan penjenamaan pasukan kepada satu identiti baharu untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) bukan satu perkara yang baharu untuk disaksikan dalam kancah bola sepak tempatan.

Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata ia tidak menjadi masalah memandangkan beberapa pasukan sebelum ini pernah melalui proses sama untuk terus beraksi dalam Liga M.

Sebelum ini, kita ada Selangor United yang bertukar pengurusan dan dijenamakan semula sebagai Sarawak United untuk beraksi dalam Liga Perdana. Ini tidak menjadi masalah namun sebarang pertukaran atau pengambilalihan slot untuk beraksi perlu mendapat kelulusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga MFL.

Penjenamaan semula ini amat penting kerana sebagai liga bola sepak yang profesional, kita mahu pasukan memiliki jenama yang komersial, katanya.

Terdahulu, kemunculan sebuah pasukan bernama Rakyat United menjadi tular di laman sosial selepas pasukan itu giat mencari pemain untuk beraksi dalam pasukan utama, Piala Belia dan Piala Presiden pada musim depan.

Kemunculan pasukan itu menguatkan spekulasi yang menyatakan pasukan terbabit adalah penjenamaan semula FELDA United selepas skuad The Fight3rs itu bakal dibubarkan pada musim depan.

Malah, sumber yang boleh dipercayai memberi bayangan Rakyat United berkemungkinan besar akan menggantikan FELDA United dalam kancah bola sepak tempatan namun setakat ini, belum ada apa-apa makluman rasmi mengenai perkembangan terbabit.

Dalam masa sama, Ghani mengesahkan pihaknya setakat ini belum lagi menerima surat penarikan diri secara rasmi oleh FELDA United memandangkan isu penarikan diri itu hanya diumumkan menerusi siaran media sebelum ini.

FELDA United perlu mengemukakan surat penarikan diri secara rasmi terlebih dahulu selain perlu mengemukakan dokumen yang diperlukan sekiranya mahu memberikan slot bertanding dalam Liga M kepada pihak lain, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *