Sukan

Saya tahu apa yang berlaku — Lim Teong Kim

Pengendali baharu Perak FC, Lim Teong Kim, bertekad untuk mengembalikan skuad Bos Gaurus ke satu tahap yang lebih baik bermula musim depan.

Malah, bekas Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) itu juga sedar bahawa ia adalah satu tanggungjawab besar, namun menyifatkannya sebagai cabaran buat dirinya.

“Saya melihatnya sebagai satu tugas dan cabaran untuk saya. Saya sentiasa sukakan cabaran dan mengambil cabaran sebagai sebahagian daripada hidup saya,” katanya dalam satu video di saluran YouTube, TBG TV.

Perak bergelut dengan masalah prestasi pada musim ini susulan masalah kewangan yang dihadapi pada awal musim sebelum XOX Berhad (XOX) muncul sebagai pemilik baharu kelab itu.

Pelantikan Teong Kim yang juga bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich dilihat memberi nafas baharu buat juara lapan kali Piala Malaysia itu kembali kepada zaman kegemilangan.

“Saya mengikuti saingan liga. Saya juga mengikuti Perak FC, jadi saya tahu apa yang berlaku,” ujar jurulatih berusia 59 tahun itu yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Selain itu, Teong Kim turut mengharapkan sokongan padu daripada seluruh penyokong Perak untuk membantu Bos Gaurus meraih kejayaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

sumber:- SA

“Kepada penyokong Perak, kami memerlukan anda. Kami akan pastikan apabila kami beraksi, kami akan bermain dengan persembahan terbaik.”Tolong datang dan bantu kami, kami perlukan sokongan anda… kita akan berjaya,” jelasnya