Sukan

Faktor Lim Teong Kim pilih Perak FC

Ketua jurulatih baharu Perak, Lim Teong Kim menganggap tanggungjawab besar yang diberikan untuk mengemudi skuad Bos Gaurus sebagai cabaran buat dirinya.

Malah, bekas Pengarah Projek Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu dilihat bersedia untuk berdepan cabaran bagi mengembalikan Perak ke tahap yang lebih baik bermula musim depan.

“Saya mengikuti saingan liga dan saya juga mengikuti Perak FC, jadi saya tahu apa yang berlaku,” katanya dalam satu video di saluran YouTube, TBG TV.

“Saya melihatnya sebagai satu tugas dan cabaran untuk saya. Saya sentiasa sukakan cabaran dan saya mengambil cabaran sebagai sebahagian daripada hidup saya.”

Perak bergelut dengan masalah prestasi pada musim ini susulan masalah kewangan yang dihadapi pada awal musim sebelum XOX Berhad (XOX) muncul sebagai pemilik baharu kelab itu.

Pelantikan Teong Kim yang juga bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich dilihat memberi nafas baharu untuk juara lapan kali Piala Malaysia itu kembali kepada zaman kegemilangan.

Selain itu, Teong Kim turut mengharapkan sokongan padu daripada seluruh penyokong Perak untuk membantu pasukan itu meraih kejayaan.

Kepada penyokong Perak, kami memerlukan anda. Kami akan pastikan apabila kami beraksi, kami akan bermain dengan persembahan terbaik.

sumber:- BH

“Tolong datang dan bantu kami, kami perlukan sokongan anda. Kita akan berjaya,” katanya.