Sukan

Misbun diarah siasat dengan segera

Siri Antarabangsa Remaja Malaysia 2022 yang melabuhkan tirainya hari ini menyaksikan tidak ada sebarang kelibat wakil negara yang beraksi di pentas akhir.

Justeru, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh menggesa Pengarah Pembangunan Remaja BAM, Datuk Misbun Sidek menjalankan b3dah siasat dengan kadar segera.

Malah tegasnya, Misbun perlu segera mempertingkatkan prestasi pemain remaja sebelum menuju Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang akan berlangsung di Santander, Sepanyol bermula 24 hingga 30 Oktober depan.

Perkara ini membuka mata kami semua kerana sebelum ini, kita tidak pernah melihat pemain-pemain dari Jepun, China dan Korea Selatan, tetapi kami masih mempunyai masa sebelum berlangsungnya Kejohanan Remaja Dunia.

“Misbun dan barisan kejurulatihannya perlu melihat perkara ini dan membuat bedah siasat secepat mungkin bagi membolehkan mereka membuat sebarang tindakan drastik menjelang Kejohanan Remaja Dunia,” katanya kepada media sejurus tamat perlawanan akhir di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, hari ini.

Dalam kejohanan itu juga, pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh yang turun sebagai pilihan pertama terpaksa menarik diri di peringkat separuh akhir selepas mengalami kekejangan ketika men3ntang lawan dari Jepun, Yudai Okimoto.

Selain itu, kategori perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita dikuasai oleh Jepun manakala, pasangan Thailand memenangi acara beregu campuran.

Sementara itu, Kenny berkata, BAM masih belum mengeluarkan senarai nama pemain yang akan mewakili negara ke Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan menjelaskan mereka akan melakukan pemilihan pada minggu hadapan bagi mencari 16 pemain remaja terbaik.

Untuk rekod, sejak ia dianjurkan pada 2000, Malaysia berjaya meraih gelaran juara dunia berpasukan pada 2011 dan pemain negara, Zulfadli Zulkifli menjadi juara acara perseorangan lelaki.

sumber:- HM

Pemain perseorangan wanita negara pula, Goh Jin Wei meraih gelaran juara sebanyak dua kali iaitu pada 2015 dan 2018.