Sukan

Pertahanan JDT mahu tebus kekecewaan dan bawa balik Piala ke Johor

Pertahanan kental Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry berazam untuk memperaga aksi terbaik bagi memastikan kejuaraan Piala FA akan menjadi milik skuad Harimau Selatan apabila berdepan Terengganu FC pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Mengakui agak terkilan selepas gagal membawa pulang tiga mata apabila JDT sekadar mencatat keputusan seri 1-1 ketika aksi Liga Super, Sabtu lalu, Lowry mahu menebus kesilapan terutama di posisi benteng bagi memastikan ianya tidak mudah dibocori walaupun sedar skuad kendalian Nafuzi Zain bakal tampil agresif.

Malah katanya, perasaan kekok tatkala beraksi di depan lebih 80,000 penyokong mungkin tidak ada dalam dirinya selepas berpengalaman bermain di Stadium Wembley pada musim 2013 ketika mewakili kelab Liga Inggeris, Milwall menentang Wigan Atheltic pada aksi separuh akhir Piala FA.

Saya bersedia untuk beraksi di depan penyokong yang ramai dan pengalaman beraksi di Stadium Wembley sudah cukup beri pendedahan dalam suasana gegak gempita sokongan daripada penyokong JDT dan Terenggan FC.

Malah ini kali kedua akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas aksi final Piala Malaysia musim lalu tapi ketika itu kehadiran penyokong terhad kerana penularan C0VID-19.

Ia pasti final yang menarik pada musim ini memandangkan Terengganu adalah pasukan hebat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan pasukan itu dibarisi pemain hebat dan mampu menidakkan usaha kami memburu kejuaraan kali kedua selepas 2016.

“Mungkin ramai yang beranggapan moral kami terjejas selepas gagal meraih kemenangan pada aksi menentang Selangor FC, baru-baru ini tapi kami anggap selepas 90 minit perlawanan itu berlangsung, apa jua keputusan sama ada positif dan kurang menyenangkan sudah dilupakan, sebaliknya lebih beri tumpuan untuk final, Sabtu ini,” katanya.

Apapun Lowry tampak enggan peristiwa musim lalu berulang selepas gagal membawa pulang Piala Malaysia apabila tumpas kepada Kuala Lumpur City FC 0-2 pada aksi final, sebaliknya memasang impian untuk tebus pengalaman pahit ketika beraksi di Stadium Nasional itu.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Perth, Australia itu mengambil sikap berwaspada dengan ancaman trio serangan Terengganu FC, Tchetce Kipre dan Kpah Sherman yang dilihat semakin berbisa dan barisan pemain JDT harus bijak menyekat kedua-dua pemain itu.

Tchetche pasti dalam `mood’ terbaik selepas mencipta hatrik baru-baru ini dan kami tidak boleh bersikap tidak kisah dengan keupayaan pemain itu malah harus sentiasa berhati-hati dengan kelicikan dan lariannya dan Sherman juga perlu diawasi kerana pemain itu bijak mencari ruang untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti.

sumber:- BH

“Apapun, kami akan turun habis-habisan dan tidak kira siapa sahaja yang diturunkan oleh jurulatih (Hector Bidoglio) kami sudah bersedia beraksi bukan 100 peratus tapi lebih daripada itu kerana kita mahu Piala FA dibawa ke Johor,” kata Lowry.