Sukan

Jadual Liga M mungkin diubah

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkemungkinan terpaksa mengubah jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga M) bagi memberi ruang kepada beberapa pemain yang dipanggil untuk menyertai skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Ia bermakna beberapa perlawanan bakal ditunda dan kemungkinan penundaan itu hanya akan membabitkan pasukan yang majoriti pemainnya dipanggil oleh jurulatih B-23, Brad Maloney.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengakui terdapat perbincangan antara pihaknya dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan keputusan mengenai perkara itu dijangka diumumkan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi selepas segala perbincangan diselesaikan.

Memang ada perbincangan antara MFL dan FAM mengenai percaturan kalendar liga untuk memberi ruang kepada pasukan Sukan SEA untuk memanggil pemain yang terbabit.

Kita rasa dalam dua atau tiga hari lagi dapat selesaikan perkara ini dan ia memerlukan kerjasama bukan sahaja MFL dan FAM, tapi juga pasukan terbabit.

Saya tak boleh komen mengenai panggilan ke skuad B-23, tapi mengenai kalendar itu adalah perkara yang kami sedang bekerja keras untuk menguruskan yang terbaik bagi membantu pasukan kebangsaan.

“Kita perlu lihat keutamaan dan majoriti pemain yang dipanggil. Kalau memang majoriti panggilan datang daripada satu atau dua pasukan, kita terpaksa letak keutamaan kepada pasukan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penajaan bersama Sime Darby Oils (SDO), hari ini yang mana minyak masak ALIF diumumkan sebagai penaja Liga M.

Difahamkan terdapat pasukan yang ‘berat hati’ untuk melepaskan pemain mereka bagi menyerati skuad B-23 yang akan menyertai Sukan SEA di Vietnam, bulan depan.

Malah, hanya lima daripada 31 pemain yang dipanggil Maloney hadir melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat di Wisma FAM, semalam.

sumber:- BH

Mereka adalah Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.