sukan

Peringatan Zii Jia buat skuad Malaysia

Lee Zii Jia mahu skuad negara belajar daripada kesilapan lepas supaya tidak terlalu meletakkan harapan tinggi apabila memulakan cabaran pada saingan Piala Thomas di Chengdu, China, Sabtu ini.

Pemain perseorangan lelaki ranking ke-10 dunia itu, berkata secara realistiknya ia bukan sesuatu yang mudah untuk menamatkan kemarau kejuaraan sejak kali terakhir Malaysia memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Katanya, ia disebabkan skuad negara kali ini bukanlah yang terkuat susulan ketiadaan perseorangan kedua terbaik negara, Ng Tze Yong yang digugurkan pada saat akhir selepas masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan belakang.

“Pasukan kali ini bukanlah yang terkuat kerana Tze Yong tidak ada. Ya, kita ada Leong Jun Hao (perseorangan lelaki) yang mempamerkan prestasi yang bagus sejak kebelakangan ini tetapi kita pun tiada pilihan.

“Hampir setiap edisi Piala Thomas pun kita dalam posisi yang orang tidak letak harapan yang banyak.

“Jadi, saya fikir adalah lebih baik kita fokus untuk berikan yang terbaik kerana kalau letak harapan tinggi takut ia beri tekanan,” kata Zii Jia sebelum ke Chengdu bersama skuad negara, hari ini.

Menurut Zii Jia, edisi 2022 di Bangkok, Thailand seharusnya menjadi pengajaran buat pasukan yang mana Malaysia dikejutkan dengan kekalahan di tangan India 2-3 di suku akhir biarpun sebelum itu berjaya menumbangkan pasukan gergasi Jepun 3-2 di peringkat kumpulan.

“Kita ada satu pengajaran berguna semasa di Thailand (2022), ketika itu kita sangat yakin selepas menang ke atas Jepun (dalam peringkat kumpulan). Namun, kita tidak jangka boleh kalah kepada India secara tiba-tiba.

“Waktu itu semua pemain terkejut dengan kekalahan itu. Jadi, bagi saya lebih baik setiap pemain buat seperti biasa dan tidak letak harapan yang terlalu tinggi.

“Kita harus sedar kalau tengok barisan pemain, kita bukan yang terkuat. Jadi, tidak perlu letak harapan tinggi, bukan kata kita mahu kalah tetapi kita rendahkan harapan kita.

“Lagipun ada pemain yang pertama kali ini beraksi dalam Piala Thomas, jadi lebih baik semua fokus buat yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Zii Jia sebelum ini tidak menyertai kem latihan pusat skuad negara kerana sudah menyusun program latihan tersendiri bersama jurulatihnya, Wong Tat Meng.

Selain Zii Jia dan Jun Hao, skuad negara turut menyenaraikan Cheam June Wei dan Justin Hoh dalam acara perseorangan.

Beregu pula dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

sumber:- BH

Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong Sabtu ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.