Sukan

Sri Pahang FC sah hantar surat

Sri Pahang FC (SPFC) menuntut tindakan tegas termasuklah penggantungan tugas kepada pegawai perlawanan yang bertugas pada aksi antara pasukan itu berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Rabu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamed Suffian Awang menerusi satu surat menyatakan ketidakpuasan hati terhadap mutu pengadilan dan keputusan pegawai perlawanan yang membuat beberapa kesilapan sehingga menafikan peluang mereka meraih kemenangan.

Tegasnya, terdapat tiga insid3n yang berlaku sepatutnya memihak kepada skuad Tok Gajah namun kelemahan yang ditunjukkan pegawai perlawanan mengakibatkan impak yang besar kepada SPFC terutamanya dari segi motivasi pemain dan pegawai pasukan.

Berdasarkan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sudah didapati dan diakui bahawa terdapat kesalahan yang dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan.

Peluang menjaringkan gol David William Rowley pada minit ke-62 namun diberikan keputusan ofsaid walaupun berada dalam kedudukan ‘onside’ dan tandukan gol yang dijaringkan Johan Martial pada minit ke-80.

“(Selain itu) Jaringan gol oleh Nurizzat Che Awang dinafikan pada minit ke-90+3. SPFC memohon agar kelemahan seperti ini dapat diatasi di masa akan datang dan pengadil yang berkenaan dikenakan tindakan yang tegas serta penggantungan tugasan,” katanya.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan pada hari perlawanan, pegawai yang bertugas pada aksi terbabit adalah Mohd Hasrol Mohd Amir (pengadil), Azri Rozaimie Abu Bakar (pembantu pengadil satu), S Kesava Raj (pembantu pengadil dua) dan Abdul Halim Mohd Ramlan (pegawai keempat).

Terdahulu, FAM menerusi satu kenyataan mengesahkan laporan daripada Penilai Pengadil menyatakan bahawa terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan pada aksi antara SPFC berdepan KDA itu.

Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada SPFC, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil sudah melakukan siasatan, penelitian dan analisis menerusi rakaman video dan mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai-pegawai perlawanan.

sumber:- BH

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan terbabit,” kata Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman, semalam.