Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bercadang menjemput kelab besar dari Eropah beraksi sempena perasmian padang baharu Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas ia siap sepenuhnya tahun depan.

Berdasarkan jangkaan awal, penukaran rumput jenis Zeon Zoysia yang ditaja Tunku Ismail akan siap pada April atau Mei tahun depan dengan projek itu bakal bermula pada Januari.

Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaimanapun menjelaskan ketika ini masih belum ada kata putus mengenai pasukan mana yang akan dijemput.

Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan Barcelona akan dijemput, namun tertakluk kepada persetujuan kelab gergasi Sepanyol itu.

Insya-Allah kita boleh jemput mana-mana kelab besar dari Eropah ke mari untuk bermain dengan pasukan kebangsaan atau mana-mana pasukan dalam Malaysia.

“Mana-mana kelab yang bersetuju, kita cari untuk datang lawan dengan pasukan kebangsaan atau kelab di Malaysia untuk kita rasmikan padang itu,” katanya pada sidang media selepas melawat Stadium Nasional, semalam.

Tunku Ismail menjelaskan, penukaran padang di Stadium Nasional itu dijangka mampu meningkatkan kualiti yang setaraf dengan perkembangan bola sepak moden ketika ini.

Malah, beliau berkata, pasukan negara juga tidak lagi berdepan situasi memalukan apabila menyambut pasukan besar atau menganjurkan mana-mana kejohanan di stadium berkenaan.

“Saya rasa awak semua sedia maklum, kita pernah ada satu peristiwa di mana apabila Barcelona ke mari dan Lionel Messi, pemain terbaik dunia tak nak main oleh kerana kualiti padang.

Itu adalah satu tamparan hebat kepada kita buat masa itu yang sepatutnya kita sudah ada kesedaran untuk tukar kualiti padang. Kita tak nak benda itu berlaku lagi sekali.

sumber:- BH

“Kita nak tengok di mana stadium ini boleh jadi tuan rumah, macam-macam pasukan boleh datang dan main dengan pasukan kebangsaan atau kelab dalam Malaysia. Dan kita boleh banggakan, bukan malu apabila ada pemain antarabangsa tak nak terbabit untuk bermain di sini,” katanya.