Sukan

Rizal berdepan penggantungan daripada aktiviti bola sepak

Hukuman penggantungan daripada aktiviti bola sepak antara bentuk hukuman keras yang boleh dikenakan ke atas tonggak pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali selepas menolak panggilan skuad kebangsaan tanpa alasan kukuh.

Malah, bekas pemain Kedah berusia 29 tahun itu juga langsung tidak menyerahkan surat rasmi atau bukti hitam putih di atas pengecualiannya ketika skuad negara memulakan latihan pusat pertama di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Begitupun, Rizal masih memiliki masa untuk muncul ke kem latihan negara sehingga Isnin depan dengan tindakan hukuman akan bermula dalam tempoh jendela aksi antarabangsa Fifa sahaja.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar, buat masa ini pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan ke atas Rizal yang menolak panggilan pasukan negara.

Sebenarnya kita boleh ambil tindakan jika dia tidak menghadiri latihan kebangsaan pada tarikh Fifa. Jadi kita kena tunggu sampai tarikh Fifa itu, sebab sekarang ini bukan tarikh Fifa lagi.

“Tarikh Fifa lagi lima hari iaitu pada 21 Mac ini. Kalau sehingga 21 haribulan dia tidak menghadirkan diri, kita akan bawa perkara ini kepada Jawatankuasa Tatatertib, sebab Jawatankuasa Tatatertib yang akan ambil jua tindakan yang perlu diambil ke atas dia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Menerusi semakan Arena Metro terhadap peraturan Fifa, di bawah Artikel 1A:Ketidakpatuhan (1) (a) dan (c) menyaksikan pasukan dan pemain boleh dikenakan denda dan digantung daripada menyertai pertandingan tempatan atau antarabangsa.

Dalam kurungan ‘a’ menjelaskan, kelab yang tidak memberi kerjasama boleh didenda RM100,000 dan dipotong tiga mata selain digantung automatik daripada pertandingan domestik.

Malah, hukuman berat juga menanti pemain dalam kurungan ‘c’ menegaskan pemain yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM25,000 serta digantung daripada beraksi dalam liga tempatan atau antarabangsa.

Ditanya adakah Rizal mengalami kec3deraan hingga menyaksikan dia gagal melaporkan diri, Saifuddin menegaskan mana-mana pemain perlu menyerahkan bukti laporan perubatan untuk menyokong ketidak hadiran.

Saya hanya dimaklumkan oleh jurulatih saja (Rizal menolak panggilan). Saya tak dapat surat secara rasmi daripada dia dan juga saya tak terima apa-apa, tapi macam Syahmi Safari (memohon pengecualian latihan kerana menerima bayi kembar tiga) saya ada terima surat daripada dia.

“Kalau kec3deraan pun kita kena dapatkan surat doktor dan pihak doktor FAM kena mengesahkan kecederaan itu. Barulah dia boleh dibenarkan supaya tidak menghadirkan diri ke latihan kebangsaan,” katanya.

sumber:- HM

Skuad negara kendalian Pan-gon kini dalam persiapan untuk menghadapi dua aksi persahabatan di Singapura apabila dijadual menentang Filipina pada 23 Mac ini serta tuan rumah tiga hari kemudian.