Sukan

Perlu disiasat segera

Pascanilai perlu dilakukan untuk mencari punca kekalahan pasukan Bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kepada Laos pada Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak bertanggungjawab khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlu mengkaji bagaimana pasukan yang sebelum ini kurang menyerlah dalam arena bola sepak Asia Tenggara, boleh mengejutkan Malaysia kali ini.

“Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Skuad bimbingan Brad Maloney tersingkir di peringkat Kumpulan B kejohanan itu, selepas dua kali tewas kepada Laos, iaitu kekalahan 2-1 pada Jumaat lalu dan 2-0 pada malam tadi.

Format kejohanan terpaksa diubah apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan iaitu juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri susulan pandemik Covid-19, menyaksikan Malaysia perlu bertemu Laos sebanyak dua kali, dengan hanya satu pasukan mara ke separuh akhir.

Ahmad Faizal berkata semua pihak yang terlibat, termasuk pemain dan penyokong, perlu melihat perkara itu secara holistik untuk memulihkan keadaan bola sepak di negara ini.

“Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan.

sumber:- HM

“Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan men3ntang atau merosakkan,” katanya.