Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia menyelamatkan masa depan Perak FC yang kini goyah susulan sekatan pengambilan pemain baharu musim ini oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) selepas gagal menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM1.7 juta ke atas beberapa bekas pemainnya terutama awang import.

Situasi itu bertambah parah apabila tempoh jendela pendaftaran pemain baharu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) kini hanya berbaki enam hari lagi sebelum ia ditutup, sekali gus berisiko tidak mempunyai jumlah minimum 20 pemain dalam pasukan.

Berdasarkan peraturan pertandingan Liga M, setiap pasukan boleh menyenaraikan maksimum 30 pemain dan minimum seramai 20 pemain untuk satu tempoh jendela.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya memahami kesukaran skuad The Bos Gaurus itu yang tidak boleh mendaftarkan pemain baharu ekoran masalah tunggakan gaji itu.

Namun katanya, Perak FC masih boleh mendaftarkan pemain dari skuad Piala Presiden dan Piala Belia musim lalu bagi mencukupkan kuota minimum pendaftaran pemain.

Dalam peruntukan tak boleh daftar pemain baharu sama ada tempatan atau import, bermakna pasukan Perak terpaksa bermain dengan pemain yang sudah berdaftar dengan Perak, di mana pemain dalam Liga Super, Piala Presiden atau Piala Belia (musim lalu) boleh berada dalam pasukan Liga Perdana (musim ini).

Dalam peraturan pertandingan kita…kita ada minimum 20 pemain untuk didaftarkan dan maksimumm 30 pemain. Kalau dia dapat 19 pemain sahaja perkara ini saya boleh bawa ke Ahli Lembaga Pengarah untuk kita bincangkan.

Ini bukan masalah mereka tak nak daftar, tetapi ia perkara lain dan kita tak boleh menghalang (batalkan penyertaan) satu pasukan jikalau tak dapat 20 pemain, dan kita harus lihat senario ini.

“Di mana pertimbangan dan bantuan yang kita boleh buat di peringkat MFL ialah kita akan buat sejauh yang boleh untuk membantu Perak,” katanya ketika ditemui pada majlis perkenalan penaja baharu Liga Super, Luno Malaysia yang turut dihadiri Pengurus Negara Luno Malaysia, Aaron Tang di Petaling Jaya, hari ini.

sumber:- BH

Terdahulu, Perak yang bakal beraksi di Liga Perdana didapati gagal menjelaskan tunggakan gaji membabitkan bekas pemain import iaitu Jeon Hyo Seok, Leandro dos Santos dan Careca, selain turut berhutang dengan dua ejen pemain.