Sukan

Azraai akui kemuka permohonan dan punyai kelebihan

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah mengakui dia antara individu yang mengemukakan permohonan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggalas tugas sebagai pembantu ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

Pengakuan Azraai itu menyaksikan dia akan bersaing bersama beberapa jurulatih berpengalaman yang lain terutama Zainal Abidin Hassan yang dikatakan menjadi antara calon berpotensi untuk mengisi jawatan itu.

Bekas pengendali Harimau Muda A itu bagaimanapun menjelaskan bahawa dia tidak kisah siapa yang akan menjadi pilihan FAM asalkan individu itu mampu menggalas tugas dengan baik dan membantu Pan Gon meningkatkan persembahan pasukan kebangsaan.

Rezeki masing-masing, tak kisah siapa dapat pun asalkan boleh bantu dia (Pan Gon). Melihat keadaan sekarang ini, pasukan kebangsaan kita memerlukan satu perubahan, kejayaan dan sebagainya.

“Jadi, kita apabila dilantik (dalam barisan kejurulatihan) pastikan kita berikan yang terbaik untuk membantu dia,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Semalam BH Sukan, melaporkan Zainal sebagai calon ‘hangat’ menjadi pembantu Pan Gon dengan sekurang-kurangnya enam permohonan dilaporkan dihantar kepada FAM untuk mengisi jawatan itu.

Ketika ditanya apa faktor yang membuatkannya berminat untuk menjadi pembantu Pan Gan, Azraai menjelaskan bahawa dia mahu menyumbangkan sesuatu untuk pasukan negara berdasarkan pengalaman yang ada sebagai jurulatih.

Malah, pengendali berusia 69 tahun itu berkata, selain dari aspek pengalaman, dia turut memiliki kelebihan dari penguasaan dalam banyak bahasa lain termasuk Inggeris, Mandarin, Tamil, Cina dan Thailand.

Saya rasa komunikasi tiada masalah, antara yang saya tahu mengenai dia (Pan Gon), bahasa Inggeris dia bagus. Dia antara jurulatih Korea Selatan yang boleh berbahasa Inggeris.

“Kalau dari segi pasukan, saya pernah bawa pasukan di peringkat kejohanan AFC (Konfederasi Boalsepak Asia) selain pengalaman saya juga sebagai pemain kebangsaan.

Satu lagi yang penting bagi saya, kita perlu ada sikap untuk membantu kepada ketua jurulatih. Bila sudah ikat dia, pastikan kita bagi dia pertolongan terbaik yang dia perlukan.

sumber:- BH

“Jadi dengan keadaan sekarang ini saya boleh bantu dia dari segi itu, aspek taktikal apa semua itu hak dia. Kita jadi orang perantara pemain dengan dia,” katanya.