Pelantikan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe tampak begitu mengujakan penyokong bola sepak tempatan

Mana tidaknya, ramai yang mengharapkan Pan Gon dapat mengikut jejak langkah dua rakan sejawatnya iaitu Park Hang Seo yang berjaya mentransformasikan bola sepak Vietnam selain Shin Tae Yong yang ‘menghidvpkan’ kembali bola sepak Indonesia.

Jurulatih dari Korea Selatan sering dijulang memandangkan reputasi republik itu sebagai gergasi bola sepak Asia. Jadi jangkaan tinggi pasti diletakkan di bahu Pan Gon untuk memastikan skuad Harimau Malaya kembali mengaum.

Namun di sebalik keghairahan pelantikan Pan Gon sebagai nakhoda baharu skuad kebangsaan, pencapaian bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan di Persatuan Bolasepak Korea (KFA) bersama skuad kebangsaan dilihat sedikit membimbangkan.

Ini kerana berdasarkan semakan di laman sesawang transfermarkt.com, pengendali berusia 52 tahun itu hanya memiliki 37 peratus kemenangan ketika mengendalikan skuad kebangsaan Hong Kong sejak 2013 hingga 2017.

Dalam 43 perlawanan di bawah kendaliannya, Hong Kong meraih 16 kemenangan, sembilan seri namun merakam 18 kekalahan dengan dia tewas 1-0 di tangan Lubnan pada aksi terakhirnya bersama pasukan itu.

Sebagai perbandingan, bekas pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memiliki 49 peratus kemenangan iaitu 20 kemenangan daripada 41 perlawanan.

Menariknya, kemenangan terakhir Pan Gon bersama Hong Kong adalah ke atas pasukan baharunya, Malaysia di mana Hong Kong menang 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia pada 2017.

Sepanjang bersama Hong Kong, Pan Gon pernah bertemu Malaysia sebanyak tiga kali dan tidak tewas – ini memberi petanda bahawa dia sememangnya arif dengan kekuatan dan kelemahan bola sepak Malaysia.

sumber:- BH

Sudah pasti faktor ini dapat membantu Pan Gon yang turut membawa empat staf kejurulatihannya sendiri memperbaiki kelemahan skuad negara dengan ‘air tangannya’ selepas ini.